Kisah seram yang berlaku disebalik lagu ‘Sephia’ dari kumpulan Sheila On 7, patut meremang kalau dengar. Lagu-lagu dari penyanyi Indonesia sentiasa mendapat tempat di hati masyarakat Malaysia. Kumpulan Sheila On 7 sebagai contoh, sebuah kumpulan yang sentiasa diingati oleh semua sehingga kini.
Lagu Sephia cukup terkenal seketika dulu dan ramai yang menyangka lagu tersebut tentang kecurangan pasangan kekasih. Tetapi, lagu itu sebenarnya merupakan lagu yang ditujukan buat peminatnya yang sudah meninggal dunia.
Lagu ini tercetus ketika salah seorang anggota kumpulan ini iaitu Eross sedang mencari idea untuk menghasilkan sebuah lagu dan ketika itu tiba-tiba sahaja telefon rumahnya berbunyi. Eross menjawab panggilan itu dan bertanyakan siapakah gerangan yang menelefonnya.
Gadis itu memperkenalkan dirinya sebagai Sephia dan menyatakan dia adalah peminat setia kumpulan Shiela On 7 dan mendapat nombor telefon daripada kawannya.
Sephia kemudiannya menyatakan dia berada di pondok telefon berhadapan dengan rumah Eross. Eross lantas keluar dari rumah dan mencari gadis tersebut, namun tiada kelibat yang dilihat dan hanya ganggang telefon yang kelihatan seperti terapung.
Panggilan dari gadis berkenaan membuatkan Eross tertanya-tanya dan dia mengambil keputusan untuk menjejaki rumah gadis itu.
Apabila sudah bertemu dengan kedua ibu bapa Sephia, Eross terkejut apabila mendapat tahu Sephia telah meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan ke konsert Sheila On 7.
Tidak dapat dipastikan sama ada kisah ini mitos semata atau benar-benar berlaku. Namun, ada beberapa pihak yang mendakwa berlaku peristiwa seram terjadi kepada mereka ketika menyanyikan lagu ini.