Kreatif! Anak muda buka ‘booth’ gunting rambut dikawasan riadah, cari duit tambahan untuk kahwin
Dengar saja perkataan ‘kahwin’ semua pasangan akan tersenyum sampai ke telinga. Namun, bila memikirkan persiapan yang perlu dibuat, seram sejuk dibuatnya. Dari proses merisik sehinggalah berakhirnya majlis kedua-dua belah pihak, wang mengalir laju saja. Mana taknya, zaman sekarang semuanya serba mahal. Itulah yang menyebabkan ramai mahukan cara kumpul duit kahwin, supaya boleh digunakan untuk macam-macam urusan.
Berbekalkan kanvas sebagai tikar dan kerusi pelanggan serta bonet kereta untuk meletakkan peralatan, seorang tukang gunting rambut menjadi tumpuan orang ramai yang berkunjung ke Pantai Kekabu.
Nur Imran Hasmadi, 25, berkata, dia memanfaatkan cuti setiap Jumaat untuk menawarkan perkhidmatan menggunting rambut sebagai inisiatif mengumpul wang untuk melangsungkan perkahwinan Disember ini. Menurutnya, dia mula menggunting rambut pelanggan secara terbuka di kawasan rekreasi tumpuan awam itu sejak April lalu.

“Sejak saya di sekolah menengah, memang ambil upah gunting rambut kawan secara suka-suka dan selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) saya terus bekerja di beberapa kedai gunting rambut untuk mencari pengalaman.
“Sekarang ini, saya bekerja di kedai gunting rambut Mat Barber cawangan Marang dan setiap cuti hari Jumaat, saya gunting rambut pelanggan secara terbuka di sini untuk cari duit tambahan. “Harga hanya RM10 tak kira dewasa atau kanak-kanak. Saya mula menggunting rambut pada pukul 3 petang dan akan pulang hampir Maghrib,” katanya.
Secara purata, dia mendapat kira-kira 10 pelanggan dalam tempoh tersebut dan kebanyakan pelanggan yang berpuas hati dengan hasil kerjanya.