
Lagenda Bola Sepak, Pele Meninggal Dunia
Lagenda bola sepak dunia, Pele dianggap sebagai pemain terhebat sepanjang zaman dan pemenang Piala Dunia tiga kali meninggal dunia hari ini pada usia 82 tahun.
Perkara itu disahkan ejennya menerusi satu hantaran di laman media sosial beliau selain anak mendiang, Kely Nascimento turut memuat naik sekeping foto dengan mesej “Semua yang boleh kami ungkapkan kepada anda adalah terima kasih. Kami menyayangi anda tidak terhingga. Berehatlah dengan tenang.”

Pele atau nama sebenarnya Edson Arantes do Nascimento sebelum ini menerima rawatan di hospital Albert Einstein di Sao Paulo, Brazil sejak 29 November.
Laporan perubatan mendapati Pele memerlukan rawatan untuk kegagalan fungsi jantung dan buah pinggangnya, selain turut mengalami barah usus sejak September 2021.
Bekas bintang Santos FC itu mula bermain untuk kelab berkenaan pada usia 15 tahun dan terus ke pasukan kebangsaan Brazil setahun kemudian.
Kerjayanya disemarakkan lagi dengan penampilan di Piala Dunia 1958 pada usia 17 tahun dan telah menjulang tiga kejuaraan Piala Dunia pada 1958, 1962 dan 1970, menjadikan dia satu-satunya yang pernah mengecap kejayaan ini.

Kehilangannya turut dirasai dengan mesej yang disampaikan dari bintang hebat seperti Lionel Messi, Neymar dan Kylian Mbappe, bekas pemain hebat seperti Franz Beckenbauer dan pilihan presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva, yang menulis tweet: “Terima kasih, Pele.”
Pele dilaporkan menghembuskan nafas yang terakhir pada jam 3.27 petang waktu tempatan berikutan kegagalan fungsi beberapa organ ekoran dari barah usus yang dialaminya.
Kecoh Satu Ampang! Pelayan Maut Akibat Letupan Direstoran