Lelaki ajar cara buka dan makan buah manggis dengan mudah, tak perlu susah payah dan kotorkan tangan
Musim buah! Ia merupakan musim yang paling disukai oleh masyarakat lebih-lebih lagi ia melibatkan buah yang mengikut musim seperti buah durian dan manggis. Ia juga dikatakan berlaku setiap tahun dan orang ramai terpaksa menanti dalam jangka masa yang panjang, tetapi berbaloi oleh sebab lambakan buah yang begitu banyak.
Buah manggis juga sering digandingkan dengan buah durian sebagai pasangan kepada buah itu kerana ia kerap berbuah pada musim yang sama. Namun, buah-buahan ini mempunyai satu keburukan yang mana ia cepat rosak sehingga mampu dipasarkan dalam tempoh yang singkat.
Tetapi, disebalik rasanya yang manis dan sedap, ia juga mampu meninggalkan kesan kepada tapak tangan jika kita mengupasnya dan menyebabkan tangan kita kotor. Ia juga mampu meninggalkan kesan kepada pakaian dan akan mengambil masa yang lama untuk dihilangkan
Namun, seorang individu telah memberikan cara bagaimana ingin mengupas manggis dengan cara yang betul tanpa menyebabkan tapak tangan anda kotor.
Dia telah berkongsikan sebuah video di aplikasi TikTok miliknya bernama @fathullnajmi memaparkan cara betul bagi mengupas buah manggis selain turut berkongsikan cara-cara salah dalam mengupas buah berkenaan.
Kebiasaannya orang ramai pasti akan membuka buah tersebut dengan meletakkan manggis di dalam kedua telapak tangan dan tekan dengan sekuat hati.
Pun begitu, cara tersebut tidak salah namun ia akan mengotorkan kedua-dua telapak tangan.
Jelas Fathul, apa yang perlu dilakukan adalah dengan melihat kedudukan tangkai tersebut dan selepas mengenal pasti kedudukannya, hadapkan tangkai itu ke hadapan.
“Yang pertama sekali, kita tengok tangkai buah itu ke arah mana.
“Tangkai itu condong, jadi kita letakkan tangkai condong itu menghadap hadapan,” katanya.
Langkah seterusnya ialah meletakkan ibu jari kanan pada tangkai tersebut dan tindihkan dengan ibu jari sebelah kiri sebelum menekannya dengan kuat.
“Kemudian, letakkan ibu jari di tangkai itu dan tekan daripada atas.
“Manggis itu akan terbuka di bahagian tepi dan apabila ia telah terbuka, tekan lagi ibu jari tersebut,” katanya.
Tekanan kali kedua adalah untuk memastikan kulit manggis itu terbuka dengan luas sebelum ia dikupas.
Fathul kemudiannya mengopek kulit tersebut dan membuang lebihan kulit yang menutupi isi manggis itu.
Untuk memakan buah tersebut, Fathul turut menunjukkan langkahnya dengan menarik tangkai manggis ke atas supaya keseluruhan isi manggis dapat dikeluarkan.
Selalunya, ramai yang akan makan isi daripada kulit namun menurut Fathul ada langkah senang yang boleh digunakan untuk memudahkan kita menikmati keseluruhan isi buah itu.
“Pegang tangkai buah kemudian tarik. Jadi tangan tidak kotor,” ujarnya.
Selepas isi dikeluarkan, orang ramai boleh makan buah tersebut dengan satu suapan tanpa perlu mengotorkan tangan.
Dalam pada itu, Fathul turut menjelaskan cara untuk memilih buah manggis yang sedap dan manis.
“Kalau nak pilih buah manggis yang elok dan okay, lihat di bahagian tampuk.
“Kalau masih hijau seperti ini, masih okay. Tetapi kalau sudah kering seperti ini, ia sudah lama.
“Pastikan tampok buah masih lagi hijau,” jelasnya.
Katanya, saiz turut memainkan peranan untuk memastikan isi buah tersebut sedap untuk dimakan.
“Yang kedua, saiz kena sedang-sedang atau kecil sahaja. Jangan lagi besar daripada ini (buah yang dipegang).
“Kalau lagi besar daripada ini (buah yang dipegang) kemungkinan dalam (isi) ada yang keras dan akan ada yang kuning.
“Tetapi kalau kecil seperti ini, biasanya isi akan cantik, putih dan elok,” katanya.