Lelaki hilang 2 hari kongsi pengalaman seram, lalu jalan sama berulang kali dan ditemani lembaga tinggi dan gelap.
Pasti ada sesetengah daripada kita pernah mengalami pengalaman mistik yang menyeramkan. Ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, dalam apa jua keadaan, sama ada sedang bekerja atau dalam perjalanan pulang ke rumah.
Baru-baru ini, Muhd Danial Hakim Mohd Saiful, 24 tahun, telah berkongsi pengalaman mistiknya yang ‘ditemani’ oleh entiti gelap sepanjang dua hari ketika hilang semasa dalam perjalanan pulang ke rumahnya.
Menurut Harian Metro, Danial, yang bekerja sebagai penyunting video, tidak pulang ke rumahnya di Bukit Rahman Putra selepas habis kerja pada Rabu lalu.
Pada awalnya, dia naik tren ke Stesen MRT Sungai Buloh sebelum memandu kereta pulang ke rumah kira-kira jam lapan malam. Akan tetapi, disebabkan dia berasa pening, dia berhenti tepi jalan dan tidur sekejap.
Walaupun begitu, dia tak dapat menemui jalan pulang dan terus melalui kawasan yang sama. Tiba-tiba, kawasan sekitarnya menjadi gelap, menyebabkan dia tidak dapat melihat apa-apa. Disebabkan itu, dia berhenti dan cuba keluar dari kereta, tetapi masuk semula kerana takut dengan keadaan gelap.

“Saya matikan enjin kereta dan keluar, tetapi disebabkan keadaan gelap, saya takut lalu masuk semula ke dalam kereta. Selepas itu, saya cuba keluar semula, tetapi pintu kereta sudah tidak boleh dibuka lagi.
Apa yang menakutkan, sepanjang dua hari hilang, dia hanya didampingi oleh bunyi loceng dan satu entiti gelap yang terus memerhatikannya dari luar kereta.
Tambahnya, dia mendengar bunyi kenderaan dan suara orang, tetapi masih tidak dapat melihat apa-apa. Dia juga cuba untuk menjerit meminta tolong, tetapi usahanya itu gagal.
“Saya boleh dengar bunyi kenderaan dan suara orang di luar, tetapi saya tidak nampak apa-apa. Saya juga melihat cahaya lampu seperti kereta peronda polis dan cuba jerit meminta tolong, tetapi tidak berhasil.
Walaupun hampir putus asa, suara laungan azan mengembalikan semangatnya. Setelah itu, dia ternampak cahaya di satu lorong, melaluinya, dan akhirnya berjaya pulang ke pangkuan keluarganya selepas dua hari hilang.