Lelaki terkejut lihat mayat anak dan isteri dalam bilik lepas 3 hari, siap tinggal nota wasiat dan wang bercampur bawah sofa.
Bekas teman lelaki kepada wanita yang ditemukan mati bersama dua anaknya yang dipercayai membunuh diri di Kampung Baru Ampang di sini tidak menyangka tinggal bersama ketiga-tiga mayat tersebut sejak tiga hari lalu.
Mangsa dikenali sebagai Ong, 42, ditemukan bersama dua anaknya masing-masing berusia, 15 dan 14 tahun dalam sebuah bilik di kediaman terbabit.
Guru tadika, 34, yang hanya dikenali sebagai Don berkata, dia yang tinggal bersama tiga mangsa di rumah terbabit sejak 2018 dan kali terakhir terlihat mereka pada malam Isnin lalu.
Bagaimanapun, katanya, mereka berpisah pada 2021, namun, masih tinggal bersama dan tidak berkomunikasi antara satu sama lain dalam tempoh terbabit.
“Pada malam Isnin, saya ternampak dia (Ong) panggil anaknya untuk tidur dan Selasa lalu, ada terdengar bunyi seakan pita pelekat sedang digunakan dalam bilik diduduki mereka.
“Saya sangkakan dia sedang buat kerja. Namun, semalam (kelmarin), saya hanya menyedari tiada pergerakan dalam rumah tersebut oleh ketiga-tiga mangsa,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian di sini hari ini.
Menurut Don, lebih menghairankan apabila terdapat nota ditinggalkan di luar rumah daripada rakan sekerja mangsa yang meminta dia hadir bekerja.
“Saya cuba meletakkan nota di bawah pintu bilik, namun gagal dan menyedari pintu tersebut ditutup dengan pita pelekat di sekelilingnya.
“Apabila buka pintu, saya terkejut apabila ternampak ketiga-tiga mereka terbaring dengan keadaan mayat yang menyedihkan. Saya tidak sangka mereka dah tiada sejak beberapa hari lalu,” ujarnya.
Semalam, Utusan Online melaporkan tiga beranak ditemukan dalam bilik di sebuah kediaman di pangsapuri di Ampang di sini.
Turut ditemukan, arang bersama penyala api diletakkan di bawah sofa bilik itu serta surat wasiat dan wang bercampur.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya percaya ini adalah kes bunuh diri dan tempoh kematian melebihi 24 jam.