
LRT: Anthony Loke Mohon Maaf Sebab Akan Ada Lagi Perkhidmatan Tergendala
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook pada hari ini menegaskan bahawa perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) masih belum stabil disebabkan oleh beberapa isu teknikal yang harus diberi perhatian.
Menurut Astro Awani, beliau mengharapkan agar perkhidmatan itu akan lebih stabil dan tidak akan mempunyai isu perkhidmatan tergendala menjelang Jun 2023 nanti.
“Pada waktu ini, perkhidmatan masih belum stabil. Saya mohon maaf kepada penumpang. Dalam beberapa bulan akan datang, memang akan ada perkhidmatan tergendala dari semasa ke semasa.
“Pihak Prasarana sudah diminta untuk pandang serius isu ini, wujudkan pelan sokongan untuk memastikan kita dapat meminimumkan kesan kepada pengguna,” katanya.
Kenyataan itu dibuat sewaktu sidang media selepas beliau mengadakan lawatan kerja ke Prasarana Malaysia Berhad pada hari ini.
Selain itu, beliau juga mengulas lanjut mengenai perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya sambil berkata bahawa arahan telah diberikan kepada Prasarana untuk menyediakan laporan bagi 16 stesen yang ditutup baru-baru ini. Laporan itu juga dijangkan akan siap dalam tempoh dua minggu.
“Saya sudah minta Prasarana untuk buat laporan itu secara terbuka kepada orang ramai apabila siap supaya rakyat tahu apa puncanya sehingga 16 stesen terpaksa ditutup.
“Apakah punca masalahnya dan apakah pelan tindakan yang sedang dan akan diambil untuk pastikan perkhidmatan itu lancar dan tidak tergendala,” tambahnya.
Perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya akan diberikan perhatian yang serius
Beliau juga berkata, perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya akan diberikan perhatian yang serius dan akan dipantau dari semasa ke semasa.
“Masalah itu sedang diambil tindakan dan saya akan pantau secara peribadi dari masa ke masa,” kata beliau lagi.
Selepas ditanya berkenaan pengalamannya sewaktu menggunakan perkhidmatan LRT pada waktu puncak Isnin lalu, tegasnya beliau tidak berpuas hati dengan apa yang dilalui dan sebab itulah sidang media pada hari ini diadakan.