Macam cara zaman dulu-dulu, wanita ini sah menjadi isteri orang selepas tamat menduduki SPM
Baru-baru ini seorang gadis yang bertemu jodoh pada usia muda, dan kisah hidupnya menjadi tular di media sosial.
Menerusi satu hantaran dibuat seorang perancang perkahwinan, @harryzulhairi, pengantin perempuan dikenali sebagai Zetty Aziz itu berkahwin sejurus selesai peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) beberapa minggu lalu.
“Semalam pergi sekolah, hari ni pergi kahwin,” tulis perancangan perkahwinan itu di ruangan kapsyen.
Dalam video berdurasi kurang satu minit itu, pada awalnya Zetty dilihat lengkap berpakaian uniform sekolah.
Dia kemudiannya mengubah penampilan dan kelihatan apabila manis mengenakan busana pengantin daripada material songket rona biru dalam majlis pernikahan yang berlangsung pada 16 Mac lalu itu.
Lebih meyakinkan apabila jurusolek, Nursyakila Wan Abdullah turut berkongsi beberapa keping foto di Facebook setelah Zetty siap dimekap.
Dalam hantaran lain yang dimuat naik, difahamkan majlis bertandang pula berlangsung di Kampung Semaloi, Endau, Johor dua hari kemudian iaitu pada 18 Mac lalu.
Meninjau pada ruangan komen di TikTok, warga maya mengucapkan tahniah atas perkahwinan pasangan pengantin baharu itu.
Malah, ramai yang bersetuju dengan komen seorang pelayar yang menyatakan ‘the real lepas SPM terus kahwin’ pada video berkenaan.
Bukan itu sahaja, ada juga segelintir netizen yang ‘mencemburui’ perjalanan hidup Zetty yang bertemu jodoh awal berbanding mereka.
Walaupun jodoh gadis ini dikatakan cepat berbanding kebanyakan orang, perkara lebih penting adalah masing-masing perlu bersedia memikul tanggungjawab sebagai suami isteri selepas mendirikan rumah tangga.