Mak buyung terkejut tengok pontianak dekat hujung kaki pukul 3 pagi, nampak tengah pijak bantal. SETELAH memasuki 13 tahun usia perkahwinan, pasangan ini akhirnya bakal dikurniakan zuriat pertama mereka yang dijangka lahir pada hujung tahun.
Syafiqah Jasni, 35, bersama suaminya, Amar Soleh, 38 memilih lokasi percutian di Bukit Tinggi, Pahang untuk meraikan kegembiraan itu pada cuti panjang hujung minggu baru-baru ini.
Sewaktu dalam perjalanan dari ibu kota, mereka memilih laluan Karak bagi mengelak kesesakan lalu lintas memandangkan ramai yang berpusu-pusu untuk bercuti dan pulang ke kampung.
“Saya dan suami pergi bercuti kononnya nak raikan berita gembira ni. Kami ikut jalan lama sebab nak elak kesesakan.
“Perjalanan boleh tahan jauh juga malam tu walaupun kereta tak banyak atas jalan. Banyak juga tempat kami singgah sebelum sampai Bukit Tinggi. Orang jual tepi jalan semua nak singgah beli,” ujarnya.
Sebagai anak jati Pahang, Syafiqah begitu teruja untuk ke Bukit Tinggi memandangkan dia sudah sekian lama tidak pulang ke kampung halaman sendiri di Bentong sejak kematian ibu bapanya tiga tahun lalu.
Namun, percutiannya bersama Amar bertukar tragedi apabila dia mula diganggu unsur-unsur mistik gara-gara mulut celuparnya sendiri.
“Memang teruja sangat nak pergi Bukit Tinggi walaupun tiga kali muntah sebab mabuk mengandung sepanjang perjalanan tu.
“Kami ada lalu kawasan-kawasan ‘hotspot’ ramai dah pernah kemalangan dekat situ. Memang jalan tu ‘berpuaka’ orang cakap. Setiap tempat pernah ada kemalangan, tu saya beritahu Amar. Dia ada tegur tak baiklah cakap benda-benda macam tu. Kita pun atas jalan ni.
“Tiba-tiba saya mula rasa panas yang pelik. Kereta lama kami pula air-cond tak berapa nak okey. Saya pun turunkanlah tingkap kereta supaya angin masuk sampailah di Bentong,” imbasnya.
Katanya yang merupakan anak tunggal dalam keluarga, memandangkan sudah lewat malam, mereka hanya bermalam di rumah peninggalan arwah ibu bapanya sahaja.
“Kami sampai pun dah pukul 12 malam. Jadi kami pun tidur di rumah saya dan cadangnya nak gerak esok pagi ke lokasi sebab dekat saja. Lagipun memang penat walaupun saya ni duduk tepi saja, suami yang memandu.
“Malam tu suami dah warning suruh mandi dan tukar baju dulu sebelum tidur. Saya hanya basuh muka dan tukar baju tidur saja. Air sejuk sangat dekat rumah kampung ni lagilah malas nak mandi.
“Malam tu memang panas sampai saya buka segala tingkap rumah. Panas betul walaupun kipas tu dah menghala betul-betul dekat saya,” jelasnya.
Bagaimanapun, akibat tersalah percaturan dia diganggu makhluk halus yang mengekorinya sewaktu dalam perjalanan ke Bentong lagi.
Pada pukul tiga pagi, seperti biasa Syafiqah akan tersedar daripada tidurnya namun kali ini berbeza apabila dia terlihat kelibat makhluk halus seperti pontianak berdiri terpacak di hadapannya dengan wajah bengis.
“Tengah syok bermimpi, saya terjaga. Masa buka mata tu saya dalam keadaan baring menghadap dinding. Sebelah saya macam biasa ada bantal kecil untuk support perut sebab biasa cramp pinggang malam-malam.
“Tapi dalam gelap ada biasan cahaya bulan tu saya rasa hairan. Lama saya tenung bantal yang teralih tu. Kaki siapa ni? Pijak bantal kecil aku! Saya cakap dalam hati. Terus saya dongak pandang atas nak tengok empunya siapa kaki huduh ni.
“Allahuakbar! Memang terkejut apabila saya sedang memandang sekujur tubuh wanita betul-betul tengah berdiri atas bantal tu. Wajah pucat dan bengis memang seram tengah tenung saya. Ia sangat tinggi sampai nak cecah siling bilik tidur,” katanya.
Dalam keadaan cuak, wanita ni berpaling untuk mengejutkan suaminya yang sedang lena tidur seolah-olah tidak menyedari apa terjadi.
Pada ketika itu, Syafiqah merasakan rambutnya seolah-olah ditarik oleh lembaga yang berwajah bengis tersebut hingga membuatkan dirinya semakin panik.
“Abang! Tolong!” jeritnya mengejutkan suami.
“Ia memang betul-betul macam marah dekat saya masa kami saling berpandangan. Tiba-tiba ia makin dekat dengan saya. Allah… punya panik tahap jadi kaku. Rasa macam dia nak pijak perut saya pula.
“Nasib baik tangan kiri boleh berpusing goyangkan badan suami. Elok dapat sentuh Amar terus saya toleh ke belakang (arah suami)!
“Amar yang terpinga-pinga terus bangun tanya saya kenapa? Saya jerit suruh Amar hidupkan lampu bilik. Lepas pasang lampu pontianak tu pun hilang. Saya beritahu ada perempuan atas katil pijak bantal tadi. Masa tu terus menangis. Meremang bulu roma,” ujarnya.
Pada malam tersebut, Syafiqah dan suami terus pulang ke rumah mereka kira-kira pukul 4 pagi setelah siap mengemas bagasi.
Percutian mereka dibatalkan serta merta kerana Syafiqah terpaksa dibawa ‘berubat’ dengan seorang ustaz di Bangi.
Menurut ustaz tersebut, berkemungkinan makhluk tersebut merupakan ‘penghuni’ di rumah usang yang lama ditinggalkan oleh Syafiqah.