Meremang bulu roma, kumpulan koir kanak-kanak di Amerika Syarikat buat persembahan guna bahasa melayu
Dalam sebuah video yang tular di TikTok milik Fairuz Fee Tauhid (@fairuzfeetauhid), sebuah pasukan koir kanak-kanak dari Amerika Syarikat (AS) telah mempersembahkan lagu koir yang berasaskan peribahasa Melayu.
Pada awal lagu ini, kumpulan koir ini menyanyikan lirik berupa kiraan nombor dari satu hingga lapan, bersesuaian dengan tajuk lagu itu sendiri.
Kemudian, terdapat beberapa peribahasa Melayu diselitkan dalam lirik seperti sediakan payung sebelum hujan, bersusah susah dahulu bersenang kemudian dan yang bulat tak datang bergolek, yang pipih tak datang melayang.
Dr. Tracy Wong, seorang rakyat Malaysia yang menetap di Kanada telah menggunakan peribahasa Melayu dalam lirik lagu koir kanak-kanaknya.
Difahamkan, wanita tersebut merupakan seorang konduktor koir, pengajar muzik, komposer, vokalis, dan pemain piano.
Berdasarkan laman webnya, beliau sangat teruja untuk membantu para pengajar koir dalam memberikan pengalaman unik kepada anak didik mereka menerusi pelbagai aktiviti seperti komisyen, bengkel dan sebagainya.
Manakala, koreografi persembahan yang bertenaga dan memukau ini telah dicipta oleh Fairuz Fee Tauhid sendiri, yang turut merupakan koreografer termuka di Malaysia.
Turut dikenali sebagai Cikgu Fee, beliau terkenal dengan hasil ciptaan koreografi tariannya, khususnya dalam tarian tradisional kontemporari.