TerasMalaysia

Modus operandi terbaru ‘bapa ayam’, sasar anak muda jadi mangsa seks, ibu ayah harus berwaspada

Subscibe Untuk Isu-isu Viral Kemaskini Terkini Follow TERASMALAYSIA

Modus operandi terbaru ‘bapa ayam’, sasar anak muda jadi mangsa seks, ibu ayah harus berwaspada

Sebelum ini kita pernah menyaksikan bagaimana beberapa rakyat Malaysia diselamatkan selepas diperdaya dan dipaksa menjadi ‘scammer’ secara atas talian. Menurut salah seorang mangsa, dia pada awalnya ditawarkan peluang pekerjaan di luar negara melalui iklan di media sosial, namun akhirnya dipaksa bekerja sebagai scammer tanpa kerelaan. Malah, mereka turut dihukum secara fizikal selain diugut akan diperkosa sekiranya tidak mencapai ‘KPI’ pekerjaan sebanyak RM20 ribu sehari.

Sedar tak sedar, anak-anak kita mempunyai risiko yang sama. Malah, sindiket pemerdagangan manusia turut menyasarkan remaja melalui media sosial sebelum dieksploitasi secara seksual untuk keuntungan peribadi.

Berapa ramai daripada ibu bapa memantau aktiviti anak remaja di atas talian?

Dengan perkembangan teknologi pada masa kini, modus operandi penjenayah juga semakin licik. Kalau dahulu penjenayah akan mendekati atau menculik mangsa di tempat awam untuk diperdagangkan, kini mereka boleh menghampiri mangsa dari dalam rumah, iaitu melalui media sosial mangsa sendiri.

Menurut The Child Advocacy Centre of Lapeer County, penjenayah akan mendekati mangsa dengan menambah mereka sebagai rakan di media sosial. Suspek kemudiannya akan memanipulasi perasaan mangsa secara romantik dan kemudian memaksanya melakukan kerja pelacuran.

“Dengan perkembangan teknologi dan media sosial, jual beli manusia menjadi semakin mudah, semudah satu klik di atas papan kekunci.” -The Child Advocacy Centre of Lapeer County

Difahamkan, ahli sindiket akan menyasarkan individu yang mempunyai masalah peribadi dan sering berkongsi luahan perasaan di media sosial. Pelaku kemudiannya dipercayai akan menawarkan diri menjadi pendengar setia dan membina kepercayaan mangsa terhadapnya.

Berdasarkan laporan oleh United Nations Office on Drugs and Crime (UNODC), sekitar 20 peratus daripada individu yang menjadi mangsa pemerdagangan manusia adalah kanak-kanak.

Malah, dalam pendedahan pada 2011 melibatkan sebuah platform pengiklanan di Amerika Syarikat, B*, mangsa-mangsa ‘dijual’ secara atas talian untuk menawarkan khidmat seks kepada golongan berhidung belang.

Ada antara mangsa telah diculik, didera dan diperkosa sebelum diiklan secara atas talian. Kisah tragis melibatkan jenayah ini turut direkodkan dalam dokumentari berjudul ‘I Am Jane Doe’.

Waris kepada salah seorang mangsa meluahkan rasa terkejut dan kecewa apabila menemui gambar anak mereka melalui laman web jualan tersebut setelah sembilan bulan berusaha mencari mangsa.

“Kami sangat terdesak dan kami buat segalanya. Tapi bila suami suruh saya buka B*, saya jadi keliru sebab ia adalah platform menjual barang terpakai. Tak pernah terlintas di fikiran yang kanak-kanak dijual beli di situ,” ujar Kubiiki Pride.

“Anak saya berusia 13 tahun dibiarkan kebuluran, dicukur rambut, didera dan kemudian mereka menjualnya seperti kereta terpakai,” tambahnya. Biarpun mangsa berjaya diselamatkan, kejadian itu telah meninggalkan trauma yang besar dalam hidupnya.

Menurut Stanford Medicine, perkembangan bahagian logikal otak remaja belum berkembang sepenuhnya sehingga mereka berusia sekitar 25 tahun. Oleh itu, remaja cenderung bertindak berdasarkan emosi dan tidak mampu berfikir panjang seperti orang dewasa.

Hasil tinjauan oleh Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF), kanak-kanak seawal usia 12 tahun kini mempunyai akses kepada Internet, sekaligus membuka ruang bahaya atas talian kepada mereka.

Justeru itu, ibu bapa digalakkan untuk membina hubungan yang baik dengan anak-anak selain memantau aktiviti mereka di media sosial.

Malaysian Communications and Multimedia Commission (MCMC) turut menyeru ibu bapa agar mendidik anak-anak mengenali ancaman dalam talian selain membimbing mereka untuk Klik Dengan Bijak.

Baca : Pemungut sampah bina perpustakaan di kaki lima, kumpul buku yang dibuang dan terpakai oleh orang ramai

Leave a Comment