Nak selesaikan hutang si mati tapi tak tahu nilai sebenar? Ini cara, penjelasan dan hukum daripada Mufti
Pernah tak arwah ibu bapa anda meninggalkan hutang tetapi tidak tahu nilai dan dengan siapa dia berhutang?
Jika situasi ini pernah berlaku, disarankan kepada ahli waris untuk berusaha mencari pihak yang arwah telah berhutang.
Walau bagaimanapun, sekiranya selepas sekian tempoh tidak ada sebarang bukti yang menunjukkan arwah telah berhutang atau tiada yang datang menuntut, maka ahli waris tidak perlu melakukan apa-apa.
Malah, dengan kaedah fiqh yang menyebut kedudukan asal bagi seseorang adalah terlepas daripada sebarang tanggungjawab melainkan terdapat dalil atau bukti-bukti yang menunjukkan sebaliknya.
Bukan itu sahaja, ia juga dianggap sebagai arwah tidak pernah berhutang dengan sesiapa.
Situasi yang berlaku di mana anda meragui sama ada arwah ibu mempunyai hutang ataupun tidak, maka agama mengajar kita untuk berpegang dengan kaedah fiqh yang menyebut,
الأصل براءة الذمة
Maksudnya: (Keadaan) asal (seseorang) adalah terlepas daripada sebarang tanggungjawab.
Kaedah ini merupakan kaedah asas yang memberi maksud bahawa seseorang itu secara asalnya terlepas daripada sebarang kewajipan dan tanggungjawab kerana mempunyai beban dan tanggungjawab merupakan perkara yang mendatang dan berlawanan dengan sifat asal.
(Lihat: al-Mausu’ah al-Qawa’id al-Fiqhiyyah, 1/108)
Dalil bagi kaedah ini bersandarkan kepada hadis Nabi SAW:
عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا، أَنَّ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى الله عليه وسلم: لَوْ يُعْطَى النَّاسُ بِدَعْوَاهُمْ، لاَدَّعَى رِجَالٌ أَمْوَالَ قَوْمٍ وَدِمَاءَهُمْ، لَكِنَّ الْبَيِّنَةَ عَلَى الْمُدَّعِيْ وَالْيَمِيْنَ عَلَى مَنْ أَنْكَرَ
Maksudnya: Ibn Abbas RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW: Seandainya setiap pengaduan dan dakwaan manusia diterima, nescaya manusia akan mendakwa harta suatu kaum dan darah mereka. Oleh kerana itu, (agar tidak terjadi hal tersebut) beban dalil dan bukti dikenakan terhadap pendakwa manakala pihak tertuduh perlu bersumpah bagi mengingkarinya.
Riwayat Ibn Hibban (5083)
Dalam pada itu, digalakkan juga kepada ahli waris untuk memberikan sedekah kepada fakir miskin dengan niat melangsaikan hutang arwah sekiranya arwah ada berhutang dengan orang lain tanpa disedari.