Nampak macam tak ada apa-apa, rupanya jutawan segera hasil seludup PATI

Subscibe Untuk Isu-isu Viral Kemaskini Terkini Follow TERASMALAYSIA

Nampak macam tak ada apa-apa, rupanya jutawan segera hasil seludup PATI

Duit yang diperolehi dari hasil kegiatan penyeludupan pendatang asing tanpa izin (Pati) tidak disimpan lama di dalam bank sebaliknya ia dipercayai dipindahkan ke luar negara.

Itu antara penemuan hasil risikan dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap tiga beradik wanita yang terbabit sebagai dalang sindiket penyeludupan ribuan Pati ke Semenanjung Malaysia sejak 2018.

Suspek yang diberkas SPRM dan pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang, Khamis lalu dipercayai memindahkan wang diperolehi hasil kegiatan jenayah itu ke negara jiran secara tunai

Sumber berkata, risikan sebelum ini mendapati akaun bank milik tiga beradik itu tidak menyimpan wang dalam jumlah besar.

“Berlaku transaksi yang amat kerap menunjukkan wang berkenaan sentiasa dikeluarkan dari dalam akaun bank milik suspek.

“Malah, lebih menghairankan ketiga-tiga suspek tidak menunjukkan kemewahan luar biasa walaupun risikan mendapati suspek sudah mengumpul lebih RM1.2 juta hasil dari kegiatan jenayah dilakukan,” katanya.

Menurutnya, suspek hanya mendiami rumah biasa dan tidak menggunakan kenderaan mewah atau memperagakan barang kemas.

“Suspek bergerak menggunakan kenderaan pelbagai guna (MPV) model lama Toyota. Ia mungkin digunakan untuk memudahkan pengangkutan Pati. Berdasarkan risikan ramai antara Pati yang berurusan dengannya berasal dari Pulau Basilan dan Pulau Tawi Tawi terletak di selatan Filipina. Mereka menggunakan bot untuk menyusup masuk ke perairan Sabah sebelum berurusan dengan suspek yang menetap di Tawau, Sabah.

“Malah, suspek turut dikesan kerap mengunjungi pulau di selatan Filipina. Ada kemungkinan suspek mempunyai saudara-mara di sana (selatan Filipina) berikutan salah seorang suami suspek adalah warga asing berstatus pelarian,” katanya.

Menurutnya, pihak berkuasa tidak menolak kemungkinan, wang keuntungan diperoleh hasil kegiatan itu dipindahkan ke negara jiran untuk membeli aset atau disimpan di sana.

“Ketika ini tiga beradik wanita itu masih ditahan reman sehingga Rabu ini. Soal siasat masih diteruskan terhadap mereka,” katanya.

Jumaat lalu didedahkan secara eksklusif kejayaan SPRM dan JPN membanteras sindiket yang menyeludup pendatang tanpa izin warga Filipina melalui jalan udara dari Sabah ke Semenanjung menerusi Ops Lancar yang dilaksanakan.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Ruji Ubi berkata, hasil operasi itu 15 individu dipercayai terbabit dengan jenayah itu ditahan di Kuala Lumpur, Johor dan Tawau, Sabah.

Beliau berkata, lima pegawai Jabatan Imigresen turut ditahan pihak SPRM di Tawau bagi membantu siasatan kes itu.

Ops Lancar dijalankan di Terminal 2 KLIA berjaya menahan lapan pendatang warga Filipina yang berjaya melepasi pemeriksaan untuk penerbangan dari Tawau ke Kuala Lumpur.

Enam pendatang didapati menggunakan MyKad milik orang lain sebagai dokumen pengenalan diri manakala dua orang lagi termasuk bayi berusia 21 bulan tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri. Turut ditahan tiga beradik wanita yang menjadi dalang sindiket itu.

Baca : Sudah separuh kotak dimakan, lelaki baru sedar ada ‘benda’ sarang dalam kurma

Leave a Comment