TerasMalaysia

Pada bulan puasa, inilah masa yang sesuai dan mujarab untuk nasihat anak

Pada bulan puasa, inilah masa yang sesuai dan mujarab untuk nasihat anak

Waktu sahur adalah masa paling sesuai dan perlu dimanfaatkan oleh mak ayah untuk memberi nasihat pada anak-anak berbanding waktu lain. Ini kerana pada ketika ini segala nasihat, pesanan dan nilai positif yang disampaikan pada anak-anak akan lebih terus ‘melekat’ di hati mereka.

Bila kita bercakap tentang berpuasa di bulan Ramadan, kita cenderung cerita tentang kemeriahan dan keseronokan ketika berbuka puasa. Kenikmatan bersahur pula tak berapa dapat perhatian.

Saya dibesarkan dalam keluarga yang amalkan bangun bersahur dan makan nasi yang berlauk lengkap. Semua orang akan bangun dan makan dengan tekun. Senyap je semua.

Ibubapa saya biasanya akan manfaatkan waktu bersahur ni untuk memberi pesanan atau nasihat. Saya rasa ia waktu yang amat sesuai kerana waktu ni fikiran kita akan polos.

Maksudnya,pada ketika itu minda kita tak serabut, emosi kita tenang, dan jiwa kita tenteram. Maka apabila diberikan pesanan dan nasihat, kita lebih reseptif dan rasional.

Tambahan pula suasana sebelum Subuh ini lebih aman; suram, sunyi, dan dingin. Tiada gangguan TV atau komputer. Suasana begini memudahkan kita untuk fokus pada apa yang disampaikan.

Secara peribadi, apabila saya berpesan atau menegur sesuatu pada anak-anak ketika bersahur, mereka lebih mendengar dan patuh. Selain itu, saya bacakan doa pelembut hati sesuai lafaz niat berpuasa.

Lazimnya sepanjang hari berkenaan, mereka akan berkelakuan lebih baik. Mereka lebih mendengar kata. Lebih mudah nak diuruskan. Mungkin kerana minda mereka telah di”primed” (disiapsiagakan).

Ini antara sebab saya sangat ternanti-nanti Ramadan. Saya dah cuba terapkan konsep yang sama pada bulan selain Ramadan, cuma masanya diubah kepada waktu sebelum tidur atau sewaktu sarapan.

Hasilnya tak sama.

Pada saya ini adalah salah satu keistimewaan waktu bersahur di bulan Ramadan. Ia waktu yang sangat kondusif untuk menerapkan nilai-nilai baik dan positif kepada minda anak-anak.

Kalian boleh cuba, manalah tahu boleh dapat hasil yang sama seperti mana yang saya dapat.

Semoga bermanfaat!

Sumber

Baca : Tukar kad pesara ATM masa mengeluarkan duit, sepasang pasangan ‘kantoi’ berjoli

Leave a Comment