Pasangan terkena sihir pemisah, jadi panas baran dan bergaduh ketika ingin ‘bersama’
Amalan sihir, santau dan ilmu bercanggah ajaran Islam didapati masih banyak diamalkan dalam kalangan masyarakat Melayu terutamanya di negara ini.
Pengalaman sepasang suami isteri, Noor dan Ahmad Safuan (bukan nama sebenar) yang pernah menjadi mangsa sihir sehingga rumah tangga dan perniagaan mereka hampir musnah.
Noor yang saya temui baru-baru ini mendedahkan azab dialami mereka sekeluarga terutama suami selepas menjadi mangsa sihir saudara kandung sendiri angkara iri hati.
Menurutnya, walaupun kejadian itu sudah hampir lima tahun berlalu, namun tetap segar dalam ingatannya dan suami.
“Alhamdulilah, Allah izinkan lagi kami untuk kekal bersama sehingga hari ini. Selepas apa yang berlaku, kami lebih berhati-hati pada masa akan datang. Kami telah lama memaafkan individu yang bertanggungjawab,” ujarnya memulakan perbualan lewat petang itu.
Berkongsi pengalaman detik hitam itu, katanya, mereka berdepan situasi cukup mencabar apabila terkena sihir pemisah dan perniagaan secara serentak.
Menurut wanita berusia awal 30-an itu, berbanding dirinya, suami lebih teruk menerima kesan gangguan sihir.
“Suami pernah putus harapan untuk hidup selepas menderita penyakit misteri. Bahkan saya sendiri hampir putus asa melihat keadaan suami.
“Namun selepas menyedari perubahan tingkah laku suami disebabkan gangguan sihir dan atas nasihat kedua-dua ibu bapa, saya kuatkan diri untuk mengharungi ujian tersebut bersama-sama,” ujarnya.
Menceritakan pengalamannya, kata Noor, mereka mendirikan rumah tangga pada pertengahan Mei 2013. Awal kehidupan mereka sangat bahagia dan baik-baik sahaja.
Namun, dia mula menyedari hubungan dengan suami agak ‘panas’ apabila memasuki tahun kedua perkahwinan.
Mereka sering bergaduh setiap kali ingin bersama.
Setelah dirujuk kepada kedua-dua ibu bapa, Noor dan suami dibawa berubat secara Islam.
Biarpun suami sudah sembuh daripada sakit misteri gara-gara sihir pemisah dan tahu identiti pelaku, mereka enggan memanjangkan isu berkenaan.
Bahagia hanya seketika. Dua tahun berikutnya, rumah tangga mereka kembali bergolak.
Suaminya tiba-tiba mula menunjukkan perubahan diri.
Badan suami susut mendadak, tidak boleh tidur malam dan sering mengalami sakit-sakit di bahagian organ dalaman sebaik memasuki waktu Maghrib sehingga ke tengah malam.
Sepanjang tempoh itu, mereka mula bergaduh walaupun puncanya hal-hal kecil sahaja.
Suami yang dahulunya seorang penyayang dan ceria tiba-tiba berubah panas baran.
Paling menguji apabila suami mula berani naik tangan.
“Ketika itu suami seolah-olah ada dua personaliti. Pada sebelah siang suami sangat garang, berbeza pada malam hari terutama menjelang Maghrib suami seolah-olah ketakutan,” ceritanya.
Setiap malam, suami didatangi mimpi-mimpi aneh dan menakutkan.
Pernah suatu malam, suami mengadu bermimpi didatangi dua makluk hitam bermain-main di ruang tamu.
Di malam lain pula, suami bermimpi ditikam bertubi-tubi dengan seluruh badannya dipenuhi darah. Mimpi-mimpi menakutkan itu datang bersilih ganti setiap malam.
Sejak dihantui mimpi menakutkan itu keadaan suaminya semakin teruk.
Fikiran suami terganggu. Semangat dan keyakinannya hilang hingga enggan keluar rumah apa lagi bertemu dengan orang lain.
Kata Noor, sakit misteri yang dialami suami sukar digambarkan dan langsung tidak menunjukkan perubahan setiap kali selepas berjumpa doktor.
Keadaan itu berlarutan hampir dua bulan sehinggalah dia berubat kembali dengan kaedah rawatan Islam.
Katanya, sebelum penyakit misteri itu dikesan melalui kaedah tersebut, dia terlebih dahulu membawa suami melakukan pemeriksaan kesihatan di hospital.
“Bukan sekali dua saya membawa suami ke hospital untuk rawatan, bahkan lebih enam kali. Tetapi setiap kali berjumpa doktor, jawapan sama diterima, iaitu suami tiada penyakit. Bukan sahaja imbasan x-ray dilakukan, tetapi juga ujian darah,” cerita Noor lagi.
Setelah mencuba kaedah rawatan Islam sekali lagi, ia agak mengejutkan kerana ustaz yang merawat suaminya memberitahu penyakit misteri dialami ada kaitan dengan sihir yang dihantar semula oleh orang sama kepada suami.
Mengimbas pengalaman sepanjang menjaga suami sakit misteri, kata Noor ia bukan sahaja menjejaskan kesihatan, bahkan membuatkan suami berada di luar kawalan.
Katanya, setiap kali diserang sakit misteri suami berkelakuan seperti orang tidak normal.
“Hanya Allah yang tahu perasaan saya ketika itu. Saya perlu mengorbankan banyak masa, tenaga dan wang ringgit ketika proses rawatan dijalankan.
“Dalam masa sama, saya perlu menguruskan restoran yang kami usahakan sebelum ini. Tanpa kesabaran yang tinggi, tidak mungkin saya berada di sisinya sehingga ke hari ini,” katanya yang tidak putus-putus bersyukur kepada Allah sepanjang perbualan lebih dua jam itu.
Kata Noor, tujuan dia berkongsi pengalaman itu bukan mahu mengaibkan sesiapa, tetapi untuk memberi pengajaran kepada semua agar lebih berhati-hati dengan sesiapa sahaja termasuk saudara sendiri.
Sesungguhnya, perbuatan sihir telah dijelaskan di dalam al-Quran serta hadis dan kewujudannya juga adalah benar. Rasulullah SAW menyebut sihir sebagai salah satu daripada perbuatan dosa besar.
Daripada Abu Hurairah R.A. Rasulullah SAW bersabda: Maksudnya: “Jauhilah tujuh jenis dosa besar yang membinasakan. Sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah dosa-dosa itu?. Sabda Baginda: Menyekutukan Allah, sihir, membunuh jiwa yang diharamkan melainkan dengan alasan yang benar, makan riba, makan harta anak yatim, lari daripada perang dan menuduh wanita mushan beriman yang tidak bersalah dengan tuduhan zina.’’ (Riwayat al-Bukhari 2766).
Baca :
Gara-gara ikut arahan syaitan, pengamal ilmu hitam kerat dan makan otak isteri, tengkorak jadi bekas abu rokok
Gadis berhabis gaji dekat teman lelaki kerana takut ditinggalkan, sanggup bagi ibu RM50 tiap bulan