Pekerja kapal ajar cara macam mana pelayar nak tahu waktu berbuka masa atas kapal
Bila tibanya waktu bulan Ramadan, sudah pasti setiap negara mahupun negeri mempunyai waktu berbuka puasa yang berbeza.
Setiap umat Islam yang ingin mengetahui waktu berbuka puasa mestilah merujuk kepada waktu Maghrib bagi wilayah atau kawasan yang diduduki pada waktu itu.
Namun, mereka yang bekerja di perantauan terutama di atas kapal pula memiliki cara yang berbeza untuk berbuka puasa.
Mereka mempunyai cara unik yang tersendiri untuk menentukan masuknya waktu berbuka.
Seorang pengguna di TikTok yang menggunakan nama @adampenang, dia telah berkongsikan berkenaan bagaimana cara mereka yang bekerja di atas kapal untuk menentukan sudah tiba masanya waktu berbuka puasa.
Berdasarkan perkongsian video tersebut, mereka akan mengetahui masuk waktu berbuka hanya dengan melihat matahari yang terbenam dan bukannya menunggu laungan azan atau merujuk kepada jam.
Video berdurasi 46 saat itu menunjukkan seorang lelaki di sebalik rakaman video berkenaan melihat ke arah matahari. Dia kemudiannya mengira detik matahari tersebut terbenam untuk berbuka puasa bersama rakan sekerjanya di atas sebuah kapal.
Dalam video itu lagi, jelas dapat dilihat keadaan matahari tersebut dengan perlahan-lahan mula terbenam di sebalik air laut yang terbentang luas.
Usai matahari tidak kelihatan, barulah mereka yang berada di atas kapal itu akan boleh berbuka puasa.
Perkongsian lelaki tersebut turut mendapat reaksi yang pelbagai daripada penonton yang menonton video tersebut.