Pekerja ‘retail’ puas hati lepas sekolahkan pelanggan yang tanya soalan-soalan pelik masa membeli
Bagaikan sudah menjadi satu kebiasaan dalam masyarakat kita di mana taraf sosial kehidupan seseorang dinilai berdasarkan penampilan luaran mahupun pekerjaan.
Pasti ramai yang pernah mempunyai pengalaman dipandang ‘jelik’ oleh orang lain hanya kerana berpakaian atau mempunyai pekerjaan yang ‘biasa-biasa’ saja.
Mereka yang berkhidmat dalam sektor peruncitan seperti juruwang dan pembantu kedai memerlukan kesabaran yang tinggi dalam melayan pelanggan.
Pelanggan yang bermacam ragam dan kerenah boleh menyebabkan seseorang itu mendidih darahnya.
Melalui satu perkongsian di laman Twitter, seorang wanita yang dikenali sebagai Sofea menceritakan realiti pekerjaan dalam sektor peruncitan yang sering diperlekehkan.
Menurut Sofea yang bekerja sepenuh masa sebagai pembantu kedai di sebuah gedung pakaian, dia berdepan beberapa insiden apabila pelanggan memandang rendah skop tugasannya.
“Bulan ni je dah lima orang customer persoalkan kerja aku. Mereka tanya kerja sambilan ke, tengah tunggu keputusan kemasukan universiti ke?
“Aku cakap la yang aku full-time dan lama dah tamatkan pengajian universiti, tua dah pun aku ni. Lepas tu mereka akan balas ‘masuk univerisiti akhirnya kerja macam ni?’.
“Apa maksud kerja macam ni tu,” kata Sofea yang agak terguris hatinya.
Sofea tidak boleh menerima sindiran sedemikian yang seolah-olah mahu menyatakan dia membuat pilihan salah untuk berada dalam sektor peruncitan.
“Pening la society kita ni. Orang buat kerja halal tak kacau hidup dia, masih nak perlekeh lepas tu downgrade.
“Dah kalau semua orang nak jadi doctor, siapa yang nak layan kau masuk kedai untuk cari barang semua. Kalau kita buat kerja haram di sisi agama atau undang-udang, mereka ni akan judge juga.
“Stres pula tengah puasa jumpa orang macam ni. Mereka yang perlekeh ni anak sendiri pun kecil-kecil lagi.
“Kau tunggu la masa anak kau dah besar nanti, susah nak dapat kerja, barang mahal apa semua,” kata Sofea melepaskan geram.
Sofea menegaskan setiap sektor dalam industri mempunyai kepentingan yang tersendiri kepada masyarakat.
“Kalau semua orang tak nak kerja retail sebab rasa hina, kau shopping la baju raya dengan hantu.
“Mereka yang cakap besar ni kalau nak minta guna kaunter layan diri pun terkial-kial, minta bantuan daripada pembantu kedai juga, ada hati nak hina retail worker,” bidas Sofea.
Sofea berkata pekerjaan dalam sektor peruncitan tidak seharusnya dilabel sebagai ‘rendah’ kerana pulangannya juga lumayan.
“Kerja retail ni actually sangat best sebenarnya. Tak tau la retail lain tapi kalau tempat yang aku kerja, cuti dua hari seminggu. Balik rumah tak ada fikir masalah kerja.
“Kau boleh fokus layan Netflix, pergi konsert, nak cuti annual leave pun senang je, tak pernah kena tolak. Kalau nak kahwin dapat cuti tiga hari.
“Work life balance ada. Bukannya aku tak pernah kerja pejabat gaji sampai RM5,000, pernah sebenarnya. Tapi stres la, sekejap-sekejap bos cari, suruh masuk kerja time cuti ini semua.
“Soal gaji kerja retail? Jangan mention, nanti raya habis semua mengaku saudara nak claim duit raya dari aku,” kata Sofea berseloroh.
Sofea seterusnya berkongsikan pengalamannya berurusan dengan pelanggan yang berisfat angkuh.
“Aku pernah ganti cashier sebab cashier off-day. Lepas tu ada satu auntie offer aku kerja dekat company dia.
“Dia cakap jom kerja bagus sikit. Aku tanya la basic berapa. Dia cakap RM1,500 katanya senang je buat kerja admin dekat office. Dia macam paksa aku masuk siap minta nombor telefon semua.
“Aku tak nak tapi last sekali aku bagi juga la. Cuma aku cakap dekat dia, buat apa aku nak tukar kerja kalau gaji aku sekarang lagi tinggi. Terdiam dia,” kata Sofea sinis.
Kisah seterusnya yang dikongsikan oleh Sofea pula melibatkan seorang pelanggan yang fasih berbahasa Inggeris.
“Ada satu lelaki lanjut usia ni bercakap dengan aku dalam bahasa Inggeris, aku pun balas dalam bahasa Inggeris. Dia terkejut. Dia tanya aku kerja part-time ke, aku jawab full-time.
“Dia cakap kenapa aku masih ada di sini kerja retail sedangkan English aku bagus, dia suruh aku explore kerja lain, dia cerita pengalaman dia kerja overseas.
“Aku malas nak layan sebab nampak sangat nak downgrade kerja aku, lagipun waktu tu ramai orang,” cerita Sofea.
Sofea berkata walaupun bekerja dalam sektor peruncitan tidak sebegitu megah, tetapi ia cukup untuk menampung kewangan gaya hidupnya.
“Pendapatan yang saya dapat dari kerja retail ni Alhamdulillah memadai. Nak makan sedap tak perlu berkira, boleh just pergi makan.
“Tak pernah lagi setakat ni hujung bulan rasa sesak sampai kena catu makan. Saya masih boleh belanja family dan tolong orang susah.
“So far happy. Itu yang paling penting, masing-masing ada cara tersendiri untuk kehidupan yang baik,” ujar Sofea menutup bicara.
Menjengah ke ruangan ciapan balas, seorang warga maya juga sempat menceritakan bagaimana rakannya yang bekerja dalam sektor peruncitan kini dilihat hidup serba mewah.
“Lepas habis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), ada buat part time retail sebelum masuk universiti. Kawan pula tak sambung study, dia stay dekat retail dari lepas SPM sampai sekarang dekat situ.
“Dah lebih 10 tahun dia setia, nampak sekarang dia ada kereta dua buah, rumah sebiji. Entah berapa la gaji dia sekarang, segan nak tanya.
“Naik dah level dia dari bahagian cashier sekarang ke bahagian management,” kata warga maya itu.