
Pelajar IPT Sanggup Tipu Pihak Berkuasa Kerana Nak Lepas Kena Tangkap Khalwat
Seorang penuntut Institut Pengajian Tinggi (IPT) menipu kononnya bekerja sebagai peladang bagi melindungi identiti diri dan kekasihnya ketika dicekup berkhalwat di sebuah hotel murah di pusat bandar Melaka.
Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Che Sukri Che Mat berkata, terdahulu pasangan masing-masing berusia 24 tahun itu diperiksa JAIM susulan maklumat awam sekitar jam 12 tengah malam tadi.
Katanya, ketika diperiksa anggota penguat kuasa JAIM, pasangan itu mengaku belum berkahwin dan tiada hubungan mahram.
“Si lelaki bagaimanapun cuba menipu penguat kuasa JAIM dengan mendakwa bekerja sebagai pengusaha kebun buah di Selangor.
“Namun hasil pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua mereka adalah penuntut tahun akhir akhir Ijazah Sarjana Muda di sebuah IPT di sini,” katanya.

Che Sukri berkata, ketika disoal siasat, pasangan itu memberikan alasan remeh penat berjalan di pusat beli-belah menyebabkan mereka menginap di hotel itu.
“Alasan itu tidak munasabah berikutan asrama penuntut wanita dan rumah sewa kekasihnya itu terletak tidak jauh dari pusat beli-belah berkenaan,” katanya.
Bagaimanapun, kedua-dua mereka ditahan dan dibawa ke pejabat JAIM. Malah, siasatan lanjut akan dilakukan mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 kerana bersekedudukan. Jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara sehingga 24 bulan atau kedua-duanya sekali.
Baca : Datin Alyah Sekolahkan Warganet Sebab Samakan Mukanya Dengan Ira Kazar – “Aku Ni Alyah, Alyah U All”