Pelancong UK terkejut kena tipu RM120 untuk gunting rambut, soalan yang diajukan buatkan ‘barber’ terdiam
Baru-baru ini, tular di TikTok mengenai satu pasangan pelancong dari Filipina dan England yang ditipu selepas mendapatkan perkhidmatan gunting rambut daripada seorang warga asing di percayai di Bukit Bintang, Kuala Lumpur.
Menerusi video yang dimuat naik oleh @zoeandczar_, pada awalnya lelaki yang dikenali sebagai Czar mendapati harga untuk potongan rambut di kedai berkenaan bermula dengan harga RM19.
Lelaki yang memotong rambut itu kemudian berbual dengannya dan bertanya dari manakah mereka berasal dan beberapa lagi soalan lazim mengenai pelancong kepada mereka berdua.
Perbualan mesra itu kemudian mengejutkan mereka apabila tukang gunting itu menyatakan jumlah bagi perkhidmatan tersebut bernilai RM120.
Kata pasangan itu, mereka sebelum ini ada terdengar dengan insiden pelancong luar yang pernah ditipu apabila dicaj sebanyak RM250 oleh tukang gunting rambut yang lain.
“Kami kemudian bertanya kepada penduduk tempatan (Malaysia) adakah RM120 adalah harga untuk memotong rambut dan mereka menyatakan harganya tidak melebihi dari RM50,” tulisnya.
Czar lalu berkata kepada warga asing tersebut harga yang dikenakan kepadanya adalah terlalu mahal. Lelaki itu kemudian menggunakan alasan penduduk tempatan yang berniaga tidak dikenakan cukai.
Zoe kemudian bertanya adakah hanya pelancong luar sahaja yang dikenakan cukai untuk memotong rambut? Namun soalan itu tidak dijawab sebaliknya dia menyatakan warga tempatan tidak memotong rambut di kawasan tersebut.
“Katanya harga tersebut menjadi mahal kerana Czar turut memilih perkhidmatan untuk mengemaskan janggutnya sedangkan ia hanya sedikit sahaja kerana dia tidak mempunyai bulu yang banyak di wajah,” ujarnya.
Zoe kemudian mengatakan ia adalah tidak adil untuk lelaki tersebut menganggap semua pelancong yang datang dari jauh mempunyai wang yang banyak sekaligus mengenakan caj yang mahal terhadap mereka.
Dia kemudian bertanya kepada orang ramai yang melihat video tersebut adakah harga RM120 itu adalah harga yang berpatutan bagi sebuah kedai gunting rambut tempatan.
Melihat di ruangan komen, ramai yang menyatakan harga yang dikenakan oleh tukang gunting itu terlalu mahal.
Malah ada juga yang meminta nama kedai tersebut diberitahu agar netizen Malaysia dapat menjalankan kerja mereka untuk mengecam tindakan individu berkenaan kerana telah menipu pelancong.