Pembeli terkejut jumpa cicak dalam nasi lemak beli di gerai tepi jalan, mati-mati ingat ikan bilis
Sebungkus nasi lemak sudah terhidang di depan mata, aromanya sahaja pasti membuatkan sesiapa pun tidak sabar-sabar untuk menikmatinya.
Bagaimanapun perkongsian seorang individu di TikTok memaparkan nasi lemak daun pisang yang dibelinya, cukup membuatkan warga maya mual dan trauma.
Nasi lemak tersebut bukan dilengakapi sambal ikan bilis atau lauk lain macam biasa, sebaliknya terdapat seekor cicak di dalam bungkusan tersebut.
Dalam rakaman yang dimuat naik di TikTok, jelas kelihatan bangkai seekor cicak yang terkulai di atas nasi lemak yang disiram dengan sambal.
“Meniaga boleh tak jangan pengotor sangat? Ini pengotor tahap apa ni… Cicak sebesar alam boleh ada dalam nasi lemak ni. Hilang selera makan aku!” tulisnya.
Menurut individu berkenaan, nasi lemak tersebut dibeli dari gerai penjaja di tepi jalan yang dipercayai terletak di Taman Tasik Permaisuri, Kuala Lumpur.
Kecewa dengan tahap kebersihan pengendalian makanan oleh penjaja berkenaan, individu tersebut mengakui insiden itu membuatkan dia fobia.
“Sebelum makan check la dulu ya. Fobia aku nak beli nasi lemak tepi jalan. Pengotor gila,” luahnya lagi.
Rata-ratanya bukan sahaja meluahkan rasa geli-geleman, namun dalam masa yang sama melahirkan rasa kesal dengan sikap segelintir peniaga makanan yang mengambil remeh soal kebersihan.
“Bayangkan kalau dah terkunyah… lunyai dalam mulut tinggal nak telan je.
“Ingatkan ikan bilis. Dia bungkus nasi lemak tu sambil tidur ke?
“Ini mesti masak lauk lepas tu biar atas dapur tak tutup kuali atau periuk.
“Kalau aku tak pakai cermin mata memang naya… berjoget cicak dalam perut,” demikian antara komen netizen.