Pemilik Lamborghini putih mata, kereta miliknya rempuh lori lepas dipandu pekerja ‘carwash’
Seorang pekerja bengkel kereta didakwa tak sengaja merosakkan Lamborghini pelanggan selepas memandunya sebelum merempuh sebuah lori.
Kejadian yang dirakam CCTV itu dilaporkan berlaku pada 22 Ogos sekitar jam 12.46 tengah hari.
SGRV mendakwa bahawa kejadian itu berlaku di sebuah bengkel kereta di Bukit Batok, Singapura.
Laman itu juga mendakwa bahawa pekerja bengkel itu turut tidak mempunyai lesen memandu.
Berdasarkan rakaman, pekerja itu dikatakan mungkin terlupa untuk menukar gear kepada mod parkir.
Semasa pintu kereta itu ditutup, kereta tersebut secara tiba-tiba telah meluncur ke depan lalu merempuh sebuah lori yang berada di hadapannya.
Kesan hentaman itu dikatakan agak kuat sehinggakan lori tersebut dilihat bergerak ke belakang.
Selain itu, pemilik bengkel tersebut kini bersembunyi dan enggan menjawab sebarang pertanyaan media.
Polis mengklasifikasikan kejadian itu sebagai satu kes perbuatan terburu-buru oleh pekerja bengkel tersebut.
Polis turut memberitahu bahawa mereka telah berjaya menahan seorang lelaki berusia 23 tahun kerana perbuatan terburu-burunya yang menyebabkan kecederaan.
Sementara itu, difahamkan, seorang lelaki berusia 75 tahun turut terlibat dalam kemalangan itu dan dia kemudiannya dikejarkan ke hospital.