Pemilik terkilan kedai tiada pelanggan, seakan tutup walaupun sedang beroperasi, dakwa ‘dikhianat’ seseorang

Subscibe Untuk Isu-isu Viral Kemaskini Terkini Follow TERASMALAYSIA

Pemilik terkilan kedai tiada pelanggan, seakan tutup walaupun sedang beroperasi, dakwa ‘dikhianat’ seseorang. RESTORAN nampak meriah, terang-benderang disinari lampu namun malangnya langsung tiada pelanggan.

Keadaan yang berlaku itu mengundang sebak seorang pengusaha sehingga meluahkan kesedihannya di laman sosial.

“Buka sejak 12 tengah hari. Sekarang jam 8.43 belum ada pelanggan,” luahnya menerusi satu perkongsian video yang dimuat naik di TikTok.

Berkongsi cerita, pengusaha restoran berkenaan, Nor Fazilah Jusoh mengakui dia tidak dapat menyembunyikan perasaan yang terlalu sedih kerana tiada pelanggan datang ke premisnya pada hari berkenaan.

Namun, wanita berusia 44 tahun itu mendedahkan kejadian seumpama itu bukan pertama kali berlaku di restoran mereka yang terletak di Puchong, Selangor.

Pemilik terkilan kedai tiada pelanggan, seakan tutup walaupun sedang beroperasi, dakwa 'dikhianat' seseorang

“Berlaku tidak menentu sejak hampir setahun, tapi tahun ini keadaannya paling teruk. Masalahnya, bukan pelanggan tak datang. Cuma mereka dakwa kata tak nampak atau tutup.

“Ada kereta masuk ke kawasan parkir di restoran saya, selepas dua hingga tiga minit kemudian mereka keluar semula. Keadaan itu berlarutan sampai sekarang,” katanya kepada mStar.

Beroperasi dari pukul 12 tengah hari sehingga 12 tengah malam, Nor Fazilah mengusahakan restoran itu dengan lebih 30 jenis masakan terutama sajian popular maggi ketam.

Dia yang berasal dari Setiu, Terengganu berkata, pelbagai cara yang diikhtiarkan termasuk melakukan rawatan perubatan Islam.

“Saya diberitahu ada gangguan. Setiap kali berubat, keadaan pulih dan tidak lama kemudian berulang kembali.

“Pernah suatu malam, ada seorang pelanggan sekeluarga datang dari Nilai, Negeri Sembilan dan parking kereta depan restoran. Kebetulan saya nampak macam mereka nak keluar semula, cepat-cepat saya lambai.

@eila_theseafood Sedih tak boleh nak ucap 😭#fypdongggggggg #fypシ #kedaiviral #restoranmaggiketampower ♬ original sound – Nor Fazilah

“Pelanggan tu nampak saya dan sangka kedai tutup sebab sebelum tu dia tengok semua kerusi diletakkan atas meja. Memang pelik sebab kami tak buat macam tu walaupun tutup,” ujarnya.

Menurut Nor Fazilah, keadaan itu ternyata memberi kesan kepada perniagaannya yang bertapak di lokasi baharu sejak 2021.

“Dulu ramai pelanggan sampai tak menang tangan dan terpaksa menghentikan servis penghantaran sebab tak dapat tampung pesanan yang terlalu banyak.

“Dulu ada seramai 16 pekerja, sekarang tinggal tiga orang sahaja. Kalau dulu, saya dapatkan pekerja part time untuk Jumaat, Sabtu dan Ahad sebab hari cuti lebih ramai yang datang.

“Dulu pendapatan paling sikit pun RM4,000 sehari. Sekarang ni pernah dapat bawah RM100,” katanya yang merupakan ibu kepada empat anak itu.

Sehubungan itu kata Nor Fazilah, dia merancang untuk mengembalikan semula khidmat penghantaran bagi meneruskan kelangsungan perniagaannya, termasuk membiayai sewa tanah yang menempatkan restorannya.

“Sampai saya terpaksa jual sebuah kereta, dua superbike dan barang kemas. Sekarang nak jual rumah pula sebab simpanan dah habis. Saya beritahu suami kalau keadaan macam ni berterusan mungkin akan tutup kedai.

“Saya dah cuba pelbagai cara termasuk mengurangkan harga makanan tapi masih ada pelanggan yang tak nampak. Yang saya sempat tegur dan lambai tu mujur mereka masuk ke dalam dan kebetulan saya duduk termenung menunggu pelanggan.

“Keadaan ini sangat misteri dan mistik. Mungkin ada yang sakit hati dan dengki tapi saya tak tahu. Dalam hati saya tertanya-tanya kenapa restoran saya macam ni? Saya doa minta pada Allah supaya kembalikan rezeki dan restoran nampak dibuka,” katanya.

BACA:
YB kantoi main judi online masa tunggu sidang wakil rakyat, dirakam secara langsung dalam dewan
Suami terkejut tengok gambar bapa terselit tepi katil, baru tahu kahwin adik sendiri selama 30 tahun
‘Ah long’ versi suri rumah, bagi pinjam duit dekat kawan-kawan sekali bunga, siap simpan dokumen bersurat

Leave a Comment