Penduduk nekad gali semula kubur jenazah yang telah meninggal, dakwa dengar ketukan selama 2 hari berturut
Sekumpulan penduduk bertindak menggali semula sebuah kubur di sebuah perkampungan kerana terdengar bunyi ketukan kuat datang dari tanah perkuburan tersebut selama dua hari berturut-turut.
Video mengenai insiden tersebut tular sejak Selasa selepas ia dikongsikan seorang pengguna Facebook menggunakan nama akaun Salome Kuah Mamagina.
Menurut pemilik akaun terbabit atau nama sebenarnya, Yati Atavia mengesahkan mengenai kejadian tersebut di Desa Tolotangga, Kecamatan Monta, Nusa Tenggara Barat, Indonesia.
Menurut Yati, tindakan menggali semula kubur terbabit dilakukan selepas penduduk mendengar bunyi misteri dari dalam kubur berkenaan sejak dua hari sebelumnya.
“Berdasarkan maklumat yang diterima, penduduk mendengar suara ketukan papan dari dalam kubur itu.
“Malah, ada yang pergi terus mendengar bunyi tersebut di tempat perkuburan berkenaan sehingga mereka membuat keputusan untuk menggali kubur tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, Yati memaklumkan kubur berkenaan merupakan milik seorang penduduk yang baru sahaja meninggal dalam tempoh 42 hari lalu.
Katanya, setelah penggalian dilakukan, penduduk hanya mengesan bau busuk keluar dari dalam kubur berkenaan disebabkan keadaan mayat yang sudah mula membusuk.
Menurut salah seorang penduduk di kampung itu, tindakan menggali semula kubur berkenaan dilakukan selepas mendapat persetujuan daripada keluarga arwah.
Bagaimanapun, selepas tidak mendapat sebarang bukti bahawa suara berkenaan datang daripada kubur terbabit, penduduk kemudiannya menguburkan kembali makam tersebut.
“Proses menggali itu melibatkan keluarga dan penduduk. Dah minta dulu persetujuan daripada kedua orang tuanya baru digali semula,” ujarnya.