Penganjur dan penceramah akan menghadapi masalah jika mengajar tanpa tauliah di Johor
Penganjur acara mengajar dan syarahan agama Islam yang menggunakan penceramah tidak memiliki tauliah dari Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), akan dianggap ‘bersubahat’ dan dikenakan tindakan undang-undang mengikut akta sedia ada.
Menurut kenyataan bersama Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid; Mufti Negeri Johor, Datuk Yahya Ahmad dan Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), Jamaluddin A Hamid, kesalahan itu diperuntukkan di bawah Seksyen 43 Enakmen Kesalahan Jenayah Sariah 1997.
Katanya, ia membawa kepada hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan, sebagaimana dinyatakan Seksyen 45 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1997.
“Antara kaedah mengawal doktrin dan fahaman menyeleweng dari hukum syarak di Johor ini, ialah mereka yang mengajar dan memberi syarahan agama Islam di negeri ini atau apa-apa perkara mengenai agama Islam, hendaklah memiliki tauliah dari MAINJ.
“Tauliah ini meliputi di masjid dan surau serta di mana-mana tempat dalam Johor.
“Ini selaras dengan Sesyen 118(3) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Johor) 2003,” menurut kenyataan itu yang dimuat naik di Facebook Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar.
Kenyataan itu juga bagi menjunjung titah Sultan Ibrahim berhubung penegasan penceramah memiliki tauliah mengajar dan memberi syarahan agama Islam di Johor.


Justeru, katanya, mana-mana orang yang mengajar dan memberi syarahan agama Islam di Johor tanpa tauliah adalah melakukan suatu kesalahan dan boleh diambil tindakan berdasarkan Seksyen 119(1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Johor) 2003 dan Seksyen 11 Enakmen Kesalahan Jenayah Sariah 1997.
Kenyataan sama memaklumkan, masyarakat Islam di Johor hendaklah mematuhi undang-undang dikanunkan itu.
“(Ia) Demi memastikan syiar Islam yang benar dan betul ditegakkan serta dilaksanakan di Johor, berlandaskan Ahli Sunnah Wal Jama’ah aliran al-Asya’irah dan al-Maturidiyyah.
“MAINJ merupakan pihak berkuasa agama Islam yang menjaga urusan hal ehwal masyarakat Islam di Johor, agar mematuhi hukum syarak berlandaskan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah aliran al-Asya’irah dan al-Maturidiyyah.
“Syariatnya berlandaskan mazhab Shafie tanpa menolak mazhab muktabar lain, iaitu Hanafi, Maliki dan Hanbali serta bertasawuf berlandaskan Imam Junaid al-Baghdadi dan Imam al-Ghazali,” katanya.