Pengantin lelaki terkilan, bakal isteri ‘lesap’ di hari nikah, rupanya sudah ada 2 orang anak.
Kehancuran hati seorang bakal pengantin berlaku apabila hari bahagianya berubah menjadi mimpi ngeri apabila wanita yang sepatutnya menjadi isterinya tidak muncul pada hari pernikahan.
Menurut perkongsian yang viral di Facebook, pemuda tersebut mendakwa mengenali wanita itu sejak tahun 2021 dan telah melangsungkan pertunangan pada 12 Oktober tahun lepas di Kuching, Sarawak.
Dia mula merasa tidak senang hati apabila rombongannya tiba di homestay di Mukah yang diuruskan oleh pengantin perempuan tetapi dimaklumkan tiada tempahan yang dilakukan mengikut urusan pemilik homestay.
Pemuda tersebut telah menelefon tunangnya berkali-kali tanpa mendapat sebarang respons, dan akhirnya terpaksa membayar homestay tersebut sendiri untuk rombongan keluarganya.
“Sampai di Daro, kami terus ke homestay yang sepatutnya sudah ditempah oleh pengantin perempuan untuk rombongan kami yang berjumlah 22 orang (sebuah van dan 3 buah kereta).

“Kami terkejut apabila pemilik homestay memberitahu bahawa mereka tidak menerima sebarang pesanan pada tarikh yang dinyatakan. Saya menelefon bakal pengantin perempuan berkali-kali, tetapi tidak mendapat sebarang jawapan.
“Kerana sudah terlalu penat, terpaksa membayar homestay sendiri, termasuk perbelanjaan lain yang sepatutnya diuruskan oleh pengantin perempuan. Ini membuatkan saya kecewa kerana dia sepatutnya menguruskan segala urusan inap desa, hanya tinggal untuk datang dan menginap sahaja,” katanya.
Pada hari yang sepatutnya berlangsungnya akad nikah, dia bersama rombongan yang membawa barang hantaran terkejut apabila mendapati rumah bakal pengantin perempuan kosong tanpa sebarang persiapan majlis.
Untuk mendapatkan kepastian, dia pergi ke rumah jiran dan terkejut apabila mengetahui bahawa bakal isterinya itu telah berkahwin dan mempunyai dua orang anak.
Lebih mengecewakan, wanita itu telah menipu nama dan bapanya turut terlibat dalam penipuan ini.
“Yang lebih buruk, perempuan itu sudah berkahwin dan mempunyai dua orang anak. Ayahnya juga terlibat dalam penipuan ini kerana tidak jujur dari awal.
“Dengan kos kerugian persiapan perkahwinan, duit hantaran sudah diberi, maruah keluarga saya turut terjejas. Mana nak letak!” katanya.
Merasa tertipu, pemuda tersebut membuat laporan polis terhadap wanita tersebut dan mendakwa bahawa proses pendaftaran perkahwinan telah diuruskan oleh pihak perempuan, dianggap telah diselesaikan oleh mereka.
Beliau juga berharap kisahnya dapat menjadi pengajaran bagi semua orang agar lebih berhati-hati dalam memilih pasangan.