Pengusaha batik timbulkan kekecohan setempat, tabur duit bernila RM10,000 dari atas bumbung rumah
Sebuah video tular di media sosial memaparkan seorang pengusaha batik menimbulkan kekecohan dengan menabur wang kepada orang ramai dari atas bumbung rumah.
Lelaki berusia 38 tahun itu menaburkan sejumlah wang kira-kira Rp35 juta (RM10,880).
Difaham, ia merupakan aktiviti tradisi sempena majlis kesyukuran cukur jambul anak ketiganya.
Kejadian berlaku di Kampung Jenggot, di Pekalongan di Jawa Tengah, Indonesia pada Ahad.
Susulan tindakan lelaki tersebut, sekumpulan penduduk berebut untuk mendapatkan wang sehingga ada yang bertolak dan bergaduh.
Malah, terdapat penduduk yang pengsan dan terpaksa dikejarkan ke hospital.
Menerusi video yang tular di media sosial, kelihatan beribu-ribu orang dari orang dewasa termasuk wanita sehingga kanak-kanak berebut wang tersebut.
Ketua Polis Daerah Pekalongan Selatan, AKP Aries Tri Hartanto mengesahkan kejadian itu.
“Ya, ada aktiviti kampung di kawasan Jenggot,” katanya.
Beliau berkata, sebelum berlaku aktiviti tersebut, pihaknya telah meminta pemilik rumah agar tidak melakukannya bagi mengelakkan perkara tidak diingini.
“Bila keadaan menjadi kecoh, kita minta ia dihentikan.
“Ini kerana ada beberapa mangsa yang pengsan dan dikejarkan ke hospital,” katanya lagi dipetik sebagai berkata dalam Tribunnews.
Menurutnya, empat mangsa terdiri daripada seorang wanita dan tiga kanak-kanak.
Tambahnya lagi, keadaan mereka bertambah baik di mana dua mangsa dibenarkan pulang.