
Peniaga ini guna cara ‘rare’ nak jual nasi lemak, sampaikan orang nak beli kena lock dulu
Kegunaan aplikasi-aplikasi media sosial yang semakin banyak juga memberikan peluang kepada para peniaga menjual dan mempromosikan barang jualan mereka melalui siaran langsung (live) yang tersedia secara percuma.
Seorang peniaga nasi lemak ini turut melakukan cara yang sama ketika sedang berniaga di bahu jalan sekitar Kuantan, Pahang.
Menerusi hantaran video yang dimuat naik di laman TikTok akaun @hanaezydeals, lelaki terbabit menggunakan platform media sosial tersebut untuk menjual nasi lemak secara live.
Walaupun dia sedang melakukan perniagaan secara fizikal, namun kelihatan kebanyakan pembeli datanya daripada TikTok live yang menempah terlebih dahulu sebelum mengambilnya.
“Nasi lemak ayam empat, telur dua betul kak eh? Saya dah lock dah nasinya” kata lelaki itu ketika salah seorang pelanggannya membuat tempahan secara online.
Pada masa sama, seorang lagi pelanggannya turut melakukan tempahan secara online dengan meminta peniaga terbabit membungkus empat nasi lemak ayam.
“Ha simpankan nasi lemak ayam empat, nak lock nasi lemak empat? Aish semua orang pakai lock dalam ni je,” katanya lagi.
Peniaga tersebut tidak mengetahui sama ada pesanan yang dilakukan hanya sekadar gurauan atau benar, namun dia tetap membungkuskannya.
Bagaimanapun, dalam video sama kelihatan sebuah kereta berwarna putih melakukan pusingan U dan berhenti di hadapan kedainya untuk mengambil dan membayar nasi lemak yang telah ditempahnya tadi di dalam live.
Difahamkan, lokasi perniagaan nasi lemak tersebut adalah berhampiran jalan masuk perumahan di Bukit Rangin Perdana 2, Kuantan.
Rata-rata pengguna media sosial turut terhibur melihat cara lelaki tersebut menjual nasi lemak secara ‘lock’ di dalam live.
Malah mereka turut mengatakan cara yang digunakan itu kelihatan lebih menyenangkan.