Peniaga terkilan dengan pelanggan, buat muka masa buat pembayaran kerana dicaj RM1 untuk nasik dan sambal lebih.
SUDAH jadi lumrah kepada peniaga perlu berdepan dengan kerenah pelanggan yang pelbagai.
Kesabaran level tinggi pastinya diperlukan agar peniaga tidak bertindak mengikut perasaan dalam urusan jual beli dengan pelanggan.
Melalui satu hantaran tular di laman Facebook, seorang peniaga berkongsi kisah yang membuatkan dirinya berasa sedih dengan sikap seorang pelanggan.
Perniagaan di gerai pastinya tidak terlepas daripada pelbagai ujian.
Menurut peniaga itu, pelanggan tersebut selamba minta nasi tambah dan sambal belacan tetapi lokek untuk membuat bayaran.
“Tengah hari tadi ada datang seorang pelanggan, dia minta nasi ayam goreng kunyit. Sedang saya masukkan nasi dalam kotak, dia minta nasi untuk ditambah. Apabila dah ditambah, dia minta tambah lagi sikit.
“Apabila saya nak masukkan bungkusan nasi dia ke dalam plastik, dia minta juga sambal belacan ekstra satu bungkus. Jadi maksudnya dia minta tambah nasi dan sambal.
“Ketika tiba masa untuk bayar, saya minta caj tambahan RM1, tapi terus buat muka tak puas hati sampai tak menjawab pun ucapan terima kasih saya. Saya jadi terpinga-pinga, ibarat saya kena marah tanpa tahu punca,” kata lelaki itu.
Tambahnya lagi, keuntungan yang diraih daripada perniagaan itu tidaklah seberapa dan dia sangat sedih kerana pelanggan itu tidak memahami situasi dirinya.
“Tiba-tiba hati saya jadi sebak, saya jual nasi ayam goreng kunyit RM5 je, terus terang cakap kalau sebelum kenaikan harga barang mentah ni, saya cuma untung antara 70 sen dan 80 sen je sebungkus.
“Tak banyak pun untung saya tu, lagi-lagi sekarang selepas harga barang dah naik, untung saya mungkin tinggal dalam 40 sen dan 50 sen macam tu je. Tapi saya tetap kekalkan harga nasi saya RM5 sebungkus.
Saya kalau minta apa-apa lebih dari peniaga memang saya akan bayar, tak senang hati nak minta free macam tu je.
“Saya buat ni atas dasar berkongsi rezeki dengan pelanggan, walaupun harga beras dan bawang naik mencanak selain ada komitmen untuk bayar sewa kedai.
“Saya nak lihat pelanggan saya kenyang ketika mana ramai yang terpaksa ikat perut untuk berjimat cermat,” luah peniaga tersebut.
Menitipkan pesanan, peniaga itu turut memohon maaf kepada pelanggan tersebut jika caj tambahan RM1 itu mengguris hatinya.
“Kepada pelanggan tadi, kalau disebabkan RM1 tu encik tak puas hati, saya mohon datang semula untuk saya gantikan keseluruhan harga nasi ayam goreng tu, anggap saya belanja encik RM6 tu.
“Sampai sekarang, masih melekat lagi dalam fikiran tentang kejadian tu, tak tenang hati saya ni.