Penjawat awam tidak lagi dibenarkan membawa masuk telefon jenis Iphone dan keluaran luar dalam pejabat
Pegawai di agensi kerajaan pusat dilarang menggunakan iPhone keluaran Apple dan peranti berjenama asing lain ketika bekerja atau membawanya ke pejabat.
Menurutnya, arahan itu diberikan pihak atasan China kepada kakitangan mereka sejak beberapa minggu lalu, namun tidak jelas sama ada semua agensi termaktub dalam larangan terbabit.
Larangan itu dibuat menjelang acara Apple minggu depan, dipercayai bagi melancarkan koleksi iPhone terbaru.
Menurut penganalisis, ia dikhuatiri boleh mencetuskan kebimbangan dalam kalangan syarikat asing yang beroperasi di China ketika ketegangan antara negara itu dan Amerika Syarikat (AS) meningkat.
Selain tidak lagi boleh digunakan, iPhone dan peranti keluaran negara luar juga dilarang dibawa masuk ke dalam pejabat mereka bertugas.
Apple dan Pejabat Maklumat Majlis Negeri China, yang mengendalikan pertanyaan media bagi pihak kerajaan, belum menjawab permintaan Reuters untuk mendapatkan komen.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, China semakin prihatin terhadap keselamatan data dan melancarkan undang-undang baharu serta keperluan pematuhan untuk syarikat.
Pada Mei lalu, China menggesa perusahaan besar milik negara (SOE) memainkan peranan penting dalam usahanya mencapai tahap berdikari berhubung penggunaan teknologi, di tengah-tengah ketegangan dengan AS.
Ketegangan China-AS semakin memuncak apabila Washington bekerjasama dengan sekutunya untuk menyekat akses negara itu kepada peralatan penting yang diperlukan bagi memastikan industri cipnya berdaya saing.
Beijing pula mengehadkan penghantaran daripada firma AS terkemuka termasuk pembuat pesawat Boeing dan syarikat cip Micron Technology.
Semasa lawatan ke China minggu lepas, Setiausaha Perdagangan AS, Gina Raimondo, berkata syarikat AS membuat aduan kepadanya bahawa China adalah negara yang kini tidak lagi mesra bagi pelaburan.
Ia merujuk kepada denda, serbuan dan tindakan lain yang menyebabkan risiko untuk menjalankan perniagaan di negara ekonomi kedua terbesar di dunia itu.
Sekatan terbaru China mencerminkan larangan serupa yang diambil di AS terhadap pembuat telefon pintar China, Huawei dan pentas video pendek TikTok, yang dimiliki oleh ByteDance China.
China ialah salah satu pasaran terbesar Apple dan menjana hampir 20 peratus daripada pendapatannya.