Pesakit lumpuh cerita detik seram masa berada di hospital, dengar jeritan dan nampak muka di siling
Kemalangan yang berlaku pada 23 Disember 2021 membuatkan pemuda dikenali sebagai Nas koma selama tiga hari dan ditempatkan di unit dependensi tinggi (HDU) di sebuah hospital di Selangor.
Dalam tempoh tersebut, adakalanya dia separuh sedar dan ketika itulah pelbagai kejadian pelik berlaku.
“Masa ni aku tahu aku kemalangan tapi tidak jangka akan lumpuh separuh badan daripada pusat ke bawah dan yang aku ingat hanya tak boleh nak gerakan badan melainkan mata,” ujarnya.
Disebabkan berada dalam keadaan terlentang, pandangan matanya hanya terarah pada siling dan lampu yang betul-betul berada di atasnya.
Dengan badan yang sakit, kudrat untuk bergerak seolah-olah sudah tiada.
Semasa tersedar dan ingin memanggil orang kerana badan terlampau sakit, mata Nas tiba-tiba terpandang sesuatu pada siling.
“Muka besar yang sangat jelas sambil memandang dengan garang. Ia perlahan-lahan turun dari siling dengan posisi terapung tapi meniarap menghadap aku.
“Semakin rapat ke muka aku, wajah dia ada bermacam jenis. Muka hitam berdarah-darah macam lepas kemalangan, tenung aku dengan mata merah tak berkedip.
“Mata kiri bulat merah menyala dan berdarah, mata sebelah kanan sepet dan macam kelabu-kelabu sikit. Lidah dia panjang terjelir setengah depa, berbau hanyir,” imbau Nas lagi.
Cuba untuk memanggil tapi mulut seperti terkunci, mata pula tidak boleh dipejam seakan-akan dihalang.
Tak lama kemudian Nas berkata dia didatangi pula jelmaan lain yang tiada rahang dengan kedua-dua mata terkulai dan muka terbakar.
Lidah Nas menjadi kelu untuk membaca apa-apa ayat al-Quran dan tiba-tiba menjadi seperti orang bodoh.
“Tapi aku paksa mulut untuk panggil orang dan akhirnya terkeluar perkataan ‘nurse’. Jururawat pun datang dan bertanya ‘kenapa dik’.
“Aku dengan pantas bertanyakan muka siapa yang datang menjenguk. Dia pun balas ‘muka apa, dalam bilik ni cuma kamu dengan akak saja’. Lepas itu aku tak tahu ubat apa yang diberikan kerana tak ingat apa-apa,” luahnya.
Menyangkakan kejadian tersebut adalah yang terakhir, Nas tiba-tiba dikejutkan dengan bau busuk seperti bangkai di samping sayup-sayup suara orang tua sedang menangis tersedu-sedu.
Kata Nas suara itu seperti sedang bercakap sendirian diselangi bunyi mesin.
“Aku cuba menoleh tapi terhalang dengan cervical collar, lantas aku panggil jururawat sebab nak minta ubat. Setelah dia datang, aku terus bertanyakan siapa yang menangis.
“Dia menyatakan yang ada cuma makcik dalam keadaan nazak di sebelah kiri. Sekali lagi aku tersedar kerana bunyi nangis yang kuat sambil meraung, titisan air mata meleleh di muka aku,” katanya yang terus memanggil jururawat untuk meminta bantuan.
Pun begitu, jururawat berkenaan sibuk menguruskan jenazah makcik yang berada di sebelah kiri katil.
Selepas sahaja jenazah makcik diusung keluar, suara meraung yang kuat tadi pun hilang.
“Suara tu meraung ‘jangan gaduh pasal aku, jangan buka aib aku’. Dua kali dia ulang ayat yang sama,” kata Nas lagi yang mengalami spinal cord injury (SCI) hingga membuatkan dia lumpur separuh badan.