Petugas muzium dipecat serta merta, emas & permata abad ke-15 hilang masa dalam jagaan
Muzium British memaklumkan bahawa seorang kakitangan telah diberhentikan kerja selepas barangan daripada koleksinya, termasuk barang kemas emas dan permata, didapati hilang, dicuri atau rosak.
Muzium berkenaan yang menerima kunjungan pelawat paling ramai di dunia itu, berkata ia sedang mengambil tindakan undang-undang terhadap individu tersebut dan juga telah melancarkan semakan keselamatan.
Menurut pihak muzium, Polis Metropolitan London juga sedang melakukan siasatan.
Ia berkata majoriti barangan terbabit adalah kepingan kecil yang disimpan di dalam bilik stor dan termasuk barang kemas seperti emas, permata dan batu separa berharga serta kaca bertarikh dari abad ke-15 Sebelum Masihi hingga abad ke-19 Masihi.
Tiada satu pun daripada barang tersebut dipamerkan kepada umum baru-baru ini dan disimpan terutamanya untuk tujuan akademik dan penyelidikan, tambahnya.
“Ini adalah insiden yang sangat luar biasa. Saya tahu saya bercakap untuk semua rakan sekerja apabila saya mengatakan bahawa kami mengambil berat menjaga semua barang dalam jagaan kami,” kata Pengarah Muzium British, Hartwig Fischer.
“Kami telah mengetatkan pengaturan keselamatan kami dan kami sedang bekerjasama dengan pakar luar untuk melengkapkan akaun definitif tentang apa yang hilang, rosak dan dicuri. Ini akan membolehkan kami mendapatkan objek itu semula.”
Pengerusi Muzium British yang juga bekas menteri kewangan George Osborne, berkata pemegang amanah amat bimbang apabila mereka mengetahui tentang kecurian itu “awal tahun ini”.