KUALA LUMPUR, 23 November – Surat mengenai Barisan Nasional (BN) memberi kepercayaan terhadap Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10 bukan keputusan yang dibuat secara konsensus dalam Mesyuarat Dewan Tertinggi BN semalam.

Sebaliknya, menurut Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon, Dewan Tertinggi BN kekal dengan pendirian untuk tidak menyokong mana-mana pihak buat masa ini.

Tular, sepucuk surat bertarikh semalam dengan kepala surat BN yang ditandatangani Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan kepercayaan dan sokongan penuh kepada Anwar sebagai Perdana Menteri ke-10 dalam pembentukan kerajaan.

Surat itu dikatakan dipersetujui ketika Mesyuarat Dewan Tertinggi BN semalam.

Datuk Chong dalam satu kenyataan berkata, MCA dan parti komponen BN telah mempersoalkan tindakan Pengerusi BN itu yang dilihat secara jelas bercanggah dengan apa yang diputuskan oleh Dewan Tertinggi BN.

Malah jelas beliau, Pengerusi BN itu cuba menafikan mengenai surat berkenaan namun mengakuinya selepas salah seorang Dewan Tertinggi BN mengemukakan bukti.

Beliau berkata, surat yang diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong jelas melanggar ketetapan yang dibuat oleh Dewan Tertinggi BN dan dilihat mempersembahkan maklumat salah kepada Seri Paduka Baginda.

Sumber : Berita RTM

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *