Polis turun padang halau hantu, lelaki nampak kelibat perempuan dirasuk dan menjerit jam 4 pagi.
Selalunya, apabila berlaku kejadian gangguan hantu atau dirasuk makhluk halus, amalan umumnya adalah untuk memanggil pengamal perubatan Islam atau ustaz yang berkebolehan untuk memberikan bantuan. Terdapat juga yang memanggil tok bomoh.
Namun, di Pattaya, Thailand, penduduk tempatan baru-baru ini meminta bantuan daripada pihak polis bagi membantu seorang lelaki yang menjerit dan menunjukkan kelakuan aneh, seolah-olah dirasuk.
Insiden ini berlaku apabila seorang lelaki yang tidak dikenali tiba-tiba menjerit dan melakukan pergerakan aneh di kawasan awam Pattaya pada jam empat pagi, menyebabkan gangguan kepada ketenteraman awam.
Penduduk setempat kemudiannya memutuskan untuk menghubungi pihak polis untuk menangani situasi tersebut.
Menurut laporan The Pattaya News, apabila polis tiba di lokasi, mereka segera memulakan upacara mengusir syaitan atau eksorsisme dengan membaca ayat-ayat suci dan menyiramkan air suci ke atas lelaki tersebut.
Keadaan lelaki itu kemudian menjadi tenang, walaupun tidak dapat dipastikan sama ada polis tersebut mempunyai pengalaman dalam mengusir hantu.
Setelah disoal siasat, lelaki tersebut menyatakan bahawa dia berasa takut kerana diganggu oleh hantu seorang perempuan.