Ramai tercengang dan kagum, lelaki ini naikkan ikan sebesar tapak tangan dewasa guna joran mainan
Satu perkongsian yang tular di TikTok baru-baru ini bukan saja bisa membuatkan rata-ratanya ‘terlopong’, malah golongan kaki pancing pasti ‘makan hati’ melihatnya.
Mana tidaknya, seorang pemancing berjaya menaikkan seekor ikan sebesar tapak tangan orang dewasa dengan hanya menggunakan rod pancing mainan berharga RM2.40.
Menerusi video itu, kelihatan lelaki berkenaan yang sedang memancing di bawah Jambatan Kedua Pulau Pinang berusaha menaikkan seekor ikan dengan menggunakan rod plastik berwarna kuning.
Selepas berhempas pulas sekitar 40 saat, seekor ikan akhirnya berjaya ditumpaskan pemancing tersebut.
“Jangan sangkut… sikit lagi. Ingat rod biasa-biasa ka?” kedengaran suara pemancing berkenaan selepas berjaya menaikkan ikan tersebut.
Sementara itu dalam video kedua, pemancing berkenaan sekali lagi menunjukkan kemahirannya dengan berjaya menaikkan seekor lagi ikan.
Dia kemudian menunjukkan rod pancing yang digunakannya dengan lebih dekat, di mana ia adalah rod mainan yang dibuat sedikit pengubahsuaian selain diikat dengan tali rafia.
Menurut lelaki berkenaan yang menjawab soalan warga maya, rod tersebut hanya dibeli di kedai serbaneka ‘Eco’.
Menerusi ruangan komen, rata-ratanya meluahkan rasa kagum dengan kemantapan rod pancing lelaki berkenaan, malah meninggalkan komen lucu kerana terhibur melihat videonya.