Ratu cantik buat aksi macam ‘mat rempit’ sebab lambat nak ke hotel, siap bawa pembonceng lagi
Seorang peserta ratu cantik Miss Grand Rayong menjadi topik hangat netizen di media sosial pada hari ini apabila dia muncul untuk menyertai aktiviti prapertandingan itu dengan menunggang sebuah teksi motosikal.
Menurut portal berita The Nation Thailand, pengguna Facebook, Pakaii Pitirat menyiarkan gambar Miss Grand Rayong, Anuthida “Ninew” Sarathana yang tiba di Hotel Swissotel di Jalan Ratchadapisek, Bangkok dengan menunggang sebuah teksi motosikal, manakala pemilik motosikal menjadi pemboncengnya.
Perkongsian itu mendapat pelbagai reaksi di kalangan warganet apabila rata-rata mereka menyatakan ratu cantik berkenaan pasti tergesa-geas untuk sampai ke destinasi yang ditujui.
Malah, mereka turut terhibur apabila melihat wanita itu menunggang motosikal bersama busana serba keemasan selain memakai ‘crown’.
Peringkat akhir Miss Grand Thailand 2023 akan diadakan di Show DC Hall, Bangkok pada 29 April ini.
Bagaimanapun, kesemua peserta dari 77 wilayah dikehendaki mendaftarkan diri di hotel berkenaan pada hari ini bagi menyertai pertandingan tersebut.