
Sahabat sejati – pelajar lelaki bantu rakan OKU makan buat netizen terharu
Baru-baru ini, tular sebuah video di laman Twitter mengenai seorang kanak-kanak sekolah rendah kelainan upaya (OKU) tangan disuap oleh rakannya kerana tidak dapat memegang makanan itu sendiri.
Menerusi video yang dimuat naik oleh @ric_callmeric itu, pelajar lelaki itu setia memegang makanan corndog itu sambil menyuapkan kepada rakannya itu.
Dapat dilihat persahabatan mereka yang tulus ikhlas, kelihatan mereka sangat gembira sambil berbual bersama-sama.

“Mulianya hati awak dik. Terharu tengok awak bantu mudahkan kawan awak nak makan tu. Sangat istimewa,” tulis Ric di ruangan kapsyen ciapan Twitter tersebut.
Perkongsian video itu telah meraih perhatian netizen, rata-ratanya begitu tersentuh dengan kebaikan murid lelaki itu yang membantu rakannya.
Walaupun sekadar memegang makanan untuk memudahkan rakannya makan, tetapi aksi tersebut cukup membuatkan orang ramai yang melihatnya terkesan dengan persahabatan kedua-dua pelajar itu.
Ramai juga memuji didikan ibu bapa serta orang sekeliling pelajar tersebut sehingga membentuk sahsiah peribadi yang begitu baik.
Dalam pada itu, netizen turut mendoakan kesejahteraan mereka agar berjaya dan berharap persahabatan mereka terus kekal.