”Sejak dia duduk asrama, dia ada lebih banyak masa dengan komputer. Awal-awal tak nampak ketara”
Ini pasal abang aku. Diluar aku mungkin nampak tenang, tak ada masalah, keluarga bahagia. Tapi sebenarnya aku ‘kehilangan’ satu-satunya abang yang aku ada.
Beberapa tahun yang lalu dia melanjutkan pelajaran di satu universiti di Kuala Lumpur dalam jurusan yang dia minati sejak kecil.
Tapi sejak dia duduk asrama jauh di KL, dia mula ‘hilang’ hari demi hari sampai sekarang.
Bukan fizikalnya tapi identitinya sudah hilang.
Dia tak lagi bersikap macam dulu yang peka dengan keadaan sekeliling. Peramah. Suka senyum. Sentiasa ada idea kreatif untuk dilontarkan.
Tapi sekarang tak ada lagi dah senyum itu. Yang aku nampak hanya bayang dan wajah yang suram dan muram.
Sejujurnya, aku pernah rasa yang ini bukan abang aku yang sebenar.
Dan aku pernah terfikir, mungkin makhlus halus sudah mengambil alih badan abang aku dan memerangkap roh abang aku yang sebenar.
Macam merepek tapi aku sungguh pernah berfikir begitu.
Aku pernah berbincang dengan kakak aku pasal dia. Kami merasakan dia mungkin mengalami depresi. Kalau bukan depresi, kemungkinan besar ketagihan permainan video.
Sekarang aku nak minta perhatian semua untuk sama-sama menilai adakah betul sangkaan kami.
Sejak dia duduk asrama, dia ada lebih banyak masa dengan komputer.
Awal-awal tak nampak ketara. Lepas sebulan dua, makin bertambah jam dia main depan komputer.
Masuk setahun dah nampak perubahan ketara. Dia keluar bilik hanya untuk makan, mandi, ambil wuduk dan bila diminta pergi kedai. Itu pun kadang kena paksa.
Perubahan paling merisaukan adalah, dia dah tak baca al-Quran dan tak nak solat terawih dah di surau ataupun masjid.
Dulu? Siap ajak kawan dia pergi Qiyamullail kat masjid.
Aku tahu dia main video game sebab dia nak upload kat youtube channel dia. Dan aku tahu dia ada dapat sedikit pendapatan dari situ.
Jadi aku rasa serba salah bila aku fikir balik. Tapi kau tak rasa ke yang dia dah keterlaluan?
Lepas tu, dia main bukannya duduk atas kerusi macam kebanyakan gamers. Dia baring je atas katil. Kau rasa?
Mak ayah tak payah cerita la. Mereka dah letih nak tegur. Bukan tak pernah berlembut. Terlalu lembut dah aku rasa.
Sebab dah besar panjang, takde la mereka nak rotan ke apa. Paling kasar bertekak mulut. Setakat ni dia boleh dengar lagi cakap kakak aku. Bergaduh sikit la tapi. Cakap aku? Hampeh sepatah habuk dia buat tak tahu.
TAPI. Kadang-kadang abang aku pernah jugak pulang. Pulang yang aku maksudkan adalah, personaliti dia yang dahulu muncul balik.
Dia cerita pasal isu semasa apa-apalah. Dia akan ada dalam beberapa jam. Paling lama mungkin 2 hari. Kemudian dia hilang semula.
Sejujurnya, aku sangat buntu. Aku nak tolong dia keluar dari lubang hitam tu tapi aku tak tahu nak mula dari mana. Aku tak nak kehilangan seorang abang.
Walaupun orang akan benci dia, tapi aku harap aku mampu untuk tetap menyayangi dia sampai satu hari nanti, dia akan pulih dan pulang semula ke pangkuan keluarga.
Kepada semua anak lelaki di luar sana, jangan kerana game, diri, agama, dan keluarga dan diri terabai.
Jangan kau robek hati mak ayah dan adik beradik kau hanya kerana game yang tak berkesudahan.
Tuhan beri kau nafas dan nyawa sebanyak ini dan kau hanya buang masa dengan game? Tolonglah berhenti. Tolong…