Selamba pekerja offshore bergelak ketawa atas kapal, padahal tengah dilanda gempa bumi
Bila dengar pasal orang kerja Offshore sahaja pasti kita akan labelkan bahawa mereka adalah golonga senang dan banyak duit. Memang betul, namun kalau diikutkan jumlah yang diterima memang setimpal dengan risiko harian yang mereka akan hadapi.
Jangan ingat kerja ini banyak duit mereka goyang kaki macam orang kerja pejabat, boleh dikatakan mereka bertaruh nyawa untuk menyiapkan tugasan mereka.
Bekerja di atas kapal sememangnya mencabar dan memerlukan kekuatan fizikal serta mental yang tinggi. Selain berhadapan dengan cuaca yang tak menentu, mereka yang menceburi pekerjaan ini turut berisiko dilanda bencana alam sehingga menyebabkan kapal bergoyang.
Seperti yang tular baru-baru ini, beberapa orang pekerja kapal tiba-tiba terhoyong-hayang sehingga menggelusur ke lantai apabila kapal yang dinaiki mereka ditimpa gempa bumi.
Menerusi video oleh Azmi Mohamad di TikTok, dia dan rakan-rakan pada mulanya berkumpul di satu ruang kapal, bersantai sambil ada yang baring, menonton televisyen, makan dan bermain phone.
Tak lama kemudian, seorang demi seorang tergelinciri dari tempat mereka, membuatkan semua yang berada di situ ketawa berdekah!
Yang lebih menarik perhatian ramai, roti yang baru saja ingin dinikmati turut jatuh ke atas lantai bersama dengan jem dan pinggan.
Bagaimanapun, fenomena berkenaan terjadi untuk beberapa saat saja. Mereka kemudiannya bingkas bangun dan mengemas semula makanan serta barangan yang jatuh dan pinggan yang pecah.
Ketika meninjau ke ruangan komen, rata-rata terhibur melihat gelagat mereka yang masih mampu ketawa walaupun ketika dalam situasi getir.