Suami kantoi langgan pelacur dekat rumah urut, isteri tengok perbualan whatsapp dalam telefon. Seorang isteri meluahkan rasa kecewa apabila mengetahui suaminya sanggup mendapatkan khidmat pelacur di sebuah rumah urut.
Katanya, suaminya seorang pasangan yang baik dan ayah penyayang kepada anak-anak sehingga dia langsung tidak menyangka lelaki itu sanggup melakukan perbuatan terkutuk tersebut.
“Saya seorang isteri, ada dua anak. Hubungan saya dengan suami baik-baik sahaja. Saya tahu apa yang suami saya buat di belakang saya dari saya mengandung anak pertama sehinggalah yang kedua.
“Baru-baru ni saya ternampak perbualan mesej suami dengan bos rumah urut untuk bertanyakan ‘availability’ (ketersediaan) seorang pelacur.
“Saya agak terkejut sebab akhirnya tuhan tunjukkan saya bukti perbualan mereka dan saya rasa puas yang sebenarnya firasat saya betul,” luahnya menerusi satu hantaran di kumpulan Facebook, Kisah Rumah Tangga, Tips dan Nasihat, semalam.
Menurut ibu kepada dua anak itu, dia mengakui telah lama mahu mencari bukti berhubung tindakan suaminya, namun menerusi carian di Telegram, lelaki tersebut sempat memadam semua perbualan dengan wanita-wanita lain.
“Selama ini saya jumpa daripada carian Telegram ada banyak nombor telefon pelacur, tapi semua itu tak ada perbualan antara mereka, agaknya sudah padam.
“Sekarang saya terfikir, saya ada anak-anak, layanan dia terhadap anak sangat bagus dan tanggungjawab tak pernah culas. Tapi saya agak terseksa dari segi batin, sebab sanggup tak bersama saya sehingga berminggu. Rupanya sudah ‘makan luar’.
“Buat masa sekarang saya hanya perlu kumpul semua bukti walaupun makan tahun dan hanya masa sahaja menentukan segalanya,” katanya.