Suami tergamak tikam isteri berkali-kali hanya kerana disuruh jimat air
Gara-gara disuruh menjimatkan air, seorang lelaki di wilayah Mae Hong Sorn, Thailand sanggup menikam isterinya berkali-kali hingga mati.
Si isteri meminta suaminya menjimatkan penggunaan air kerana musim kemarau akan tiba. Namun, si suami yang berasa marah mendengar nasihat tersebut bertindak menikam mangsa sebelum dia melarikan diri ke dalam hutan.
Pegawai polis dari Balai Polis Pai telah bergegas ke lokasi kejadian selepas dimaklumkan mengenai pembunuhan itu pada Selasa lalu kira-kira 10.30 pagi.
Pegawai polis dan penduduk tempatan kini dilaporkan sedang melakukan operasi memburu tertuduh yang melarikan diri ke dalam hutan susulan kejadian itu.
Rumah kediaman pasangan itu terletak di Komuniti Moo Baan Santichon di daerah Pai, Mai Hong Sorn, sebuah kelompok masyarakat Thai yang berketurunan Cina Yunnan.
Semasa tiba di lokasi kejadian, pihak polis menemui mayat seorang wanita berusia 55 tahun di luar pintu hadapan rumahnya. Laporan menunjukkan mangsa didapati telah ditikam berkali-kali di bahagian paha kanan sehingga dia kehilangan banyak darah.

Hasil soal siasat jiran, polis mendapati pembunuh wanita itu adalah suaminya sendiri. Sebelum kejadian itu berlaku, pasangan tersebut dikatakan berbalah mengenai penggunaan air.
Mangsa telah meminta suaminya untuk berhenti menyiram tanaman kerana bimbang bekalan air tidak mencukupi bagi keperluan ketika musim kemarau yang akan datang.
Sejurus mendengar kata-kata mangsa, lelaki itu menjadi berang dan secara tiba-tiba telah menikam isterinya dengan menggunakan pisau.
Polis telah bertindak menggeledah rumah pasangan itu dan menemui dadah yang dipercayai dimiliki oleh lelaki itu.
Pegawai polis dan penduduk kemudiannya telah bekerjasama bagi mencari penjenayah yang melarikan diri. Pihak polis juga bimbang jika lelaki itu mungkin akan bertindak untuk membunuh diri bagi mengelak daripada dikenakan pendakwaan.
Bagaimanapun, polis percaya bahawa suspek akan ditahan dalam masa terdekat memandangkan dia tidak mempunyai wang dan tidak makan sejak Selasa lalu.
Terdahulu, laman berita Thailand pernah melaporkan bahawa penduduk Moo Bann Mae Sakuet telah menghadapi masalah kekurangan air ketika musim kemarau. Malah pihak berkuasa tempatan terpaksa menghantar lori air kawasan itu bagi membantu penduduk terjejas.
Baca : Cikgu dengan makcik kantin sama lawa, terpaksa buat ‘ice breaking’ takut murid keliru