Tak sampai beberapa jam, akaun Twitter dan Instagram milik Jocelyn Chia disekat
Tindakan Jocelyn Chia menyentuh isu kontroversi berkaitan tragedi kehilangan pesawat milik Malaysia iaitu MH370 dalam komedi berdiri yang dipersembahkan membawa padah.
Menerusi semakan, akaun Twitter dan Instagram milik Jocelyn sudah pun digantung dipercayai akibat menerima banyak laporan daripada pengguna media sosial.
Susulan itu, ramai rakyat negara ini meluahkan rasa gembira dengan perkembangan terbaharu itu kerana keceluparan mulut pelawak berkenaan melampaui batas dan bersifat provokasi.
Rata-rata netizen menyifatkan sikap masyarakat Malaysia yang prihatin dan sepakat mampu memberikan impak sehingga dapat melenyapkan akaun media sosial Jocelyn hanya dalam masa beberapa jam.
“Dahsyat netizen Malaysia. Hanya dalam beberapa jam sahaja akaun Jocelyn hilang.
“Israel pun boleh koyak, apa yang anda boleh jangkakan?,” tulis netizen.
Bagaimanapun, buat masa ini didapati akaun YouTube Jocelyn iaitu @JocelynChiaComedy serta akaun TikTok pelawak berkenaan dilihat masih lagi aktif.
Jocelyn sebelum ini tular di media sosial kerana beberapa kali dengan sengaja mempersenda Malaysia dalam sketsa komedinya.
Pelawak itu menyentuh isu kontroversi berkaitan tragedi kehilangan pesawat milik Malaysia, MH370 dalam komedi yang dipersembahkan.
Malah, wanita itu juga turut membangkitkan isu perkauman serta membandingkan kemajuan antara Malaysia dan negaranya.
Menurut Jocelyn, ekonomi Malaysia jauh lebih rendah dan masih dikategorikan sebagai negara yang sedang membangun, berbanding Singapura yang diiktiraf sebagai negara dunia pertama.