Qatar : Peminat Piala Dunia berkata suasana Piala Dunia berbeza tanpa alkohol menimbulkan perasaan berbelah bahagi.
Ada yang berpendapat larangan alkohol di stadium dan penjualan yang terhad menjejaskan suasana di dalam dan di luar stadium.
Namun ada juga berpendapat ia tidak banyak memberi kesan, malah mereka beranggapan situasi lebih baik kerana menjadikan Piala Dunia lebih mesra keluarga dan kurang agresif.
Penjualan alkohol di stadium Piala Dunia diharamkan dua hari sebelum kejohanan namun ia tetap boleh didapati di zon penyokong dan kebanyakan hotel antarabangsa.
“Ia membawa suasana positif kepada Piala Dunia,” kata penyokong Ghana, Assenso Ata Peter yang menyaksikan perlawanan antara pasukannya dengan Uruguay.
“Tingkah laku penyokong sangat baik, sangat bagus kerana mereka tidak minum alkohol.
“Jika kita dapat meneruskan budaya ini, kejohanan ini pasti lebih berjaya setiap kali ia dianjurkan,” tambah penyokong berusia 40 tahun itu.
Seorang penyokong Korea Selatan, Kang Yong-ki berkata, alkohol sememangnya dilarang dijual ketika perlawanan berlangsung di Korea sekali gus mudah untuknya menyesuaikan diri.
“Saya rasa suasana akan menjadi lebih tegang jika ada penjualan alkohol, tetapi secara amnya ia tidak banyak beza jika ada alkohol atau tidak,” katanya yang berusia 45 tahun dari Seoul.