Terduduk pengantin perempuan lepas suaminya dipeluk wanita berpurdah
Baru-baru ini, tular di media sosial satu video yang memaparkan sebuah majlis persandingan sepasang kekasih bertukar menjadi cemas buat seketika.
Menerusi hantaran video yang dimuat naik, kelihatan pasangan mempelai itu sedang berdiri di atas pelamin sambil menunggu ahli keluarga dan tetamu yang hadir naik ke atas untuk sesi bersalaman.
Bagaimanapun, ketika seorang wanita yang memakai jubah dan purdah menaiki pentas untuk bersalaman, dia secara tiba-tiba memeluk pengantin lelaki tersebut.
Susulan kejadian itu, suasana di majlis berkenaan terus bertukar menjadi panik dengan ibu bapa dan ahli keluarga pengantin lelaki meminta wanita itu untuk melepaskan pelukannya.
Dalam video sama, pengantin perempuan pula dilihat terduduk dan terkedu selepas terkejut melihat suami kesayangan dipeluk wanita lain.
Bagaimanapun, tidak lama selepas itu wanita terbabit membuka purdahnya dan ternyata sosok tubuh itu milik seorang lelaki yang dipercayai kawan baik kepada pengantin lelaki itu.
Difahamkan, tindakan tersebut dilakukan oleh lelaki itu kerana ingin ‘prank’ sahabatnya itu di hari persandingannya.
Selepas mengetahui identiti sebenar wanita berpurdah tersebut, suasana yang tadinya panik bertukar menjadi ceria dan dipenuhi gelak tawa.
Menjengah pula di bahagian komen, ramai warganet terhibur dengan gelagat lelaki berkenaan dengan usikan yang dilakukan.