Terselamat dari jadi makanan buaya, nenek tua ini terima 76 jahitan hasil dari pergelutan
Seorang nenek bernama Nurung (61) terpaksa menjalani rawatan kerana diterkam dan diseret buaya ketika hendak mandi di sungai dekat rumahnya, Tanjung Jabung Timur, Jambi, Indonesia.
Ketika itu dia baru lepas bersahur. Semasa mahu mandi tiba-tiba muncul seekor buaya dan terus menerkam kaki kanannya.
“Buaya tersebut sempat menyeret tubuh mangsa masuk ke dalam sungai,” kata seorang penduduk, Jamal.
Nurung bernasib baik kerana berjaya melepaskan diri dan terselamat daripada maut.
“Ketika diseret ke dalam air, mangsa spontan menendang kepala buaya itu menggunakan kaki kirinya sehingga gigitan dilepaskan,” jelasnya.
Setelah kaki kanannya terlepas dari gigitan buaya, dia bergegas naik ke darat dan berteriak meminta tolong.

Penduduk yang mendengar teriakannya terus datang ke lokasi kejadian untuk memberikan pertolongan.
“Melihat keadaan mangsa yang mengalami luka cukup parah di bahagian kaki, penduduk terus memanggil petugas medik setempat untuk membantu merawat luka mangsa,” ujarnya.

Akibat serangan tersebut, bahagian kaki kanan mangsa mengalami luka dirobek dan menerima 76 jahitan.
Selain itu terdapat juga luka bekas cakaran buaya di kaki kirinya.
“Kami belum pasti saiz buaya itu. Mangsa masih trauma akibat peristiwa itu. Kami berharap pihak berwajib dapat menangkap atau menghalau buaya liar itu agar menjauh dari kampung,” katanya.