“Tikar sejadah menjadi teman sujud” – Najib Razak coret puisi disebalik tirai besi
Semalam genap setahun, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani kehidupan di sebalik tirai besi selepas dijatuhi hukuman penjara selama 12 tahun pada 23 Ogos, tahun lalu.
Menerusi perkongsian di Facebook rasminya, satu puisi dimuat naik bagi menggambarkan kehidupan yang dijalani beliau di penjara.
Hantaran tersebut memberikan bayangan bahawa Perdana Menteri keenam itu banyak menghabiskan masa dengan mengerjakan ibadah meskipun sentiasa berasa keseorangan.
“365 hari telah berlalu pergi
Di sebalik tirai besi
Beralaskan dinginnya lantai simen
Tikar sejadah menjadi teman
Sujud
Mengerjakan solat lima waktu
Merayu belas kasihanNya meringankan ujian beban
Mendoakan ketenangan, kebebasan derita
Di subuh
Menanti sinar mentari pagi
Menembusi jendela tirai besi
Di waktu senja bertukar malam
Hening dan sunyi
Mengalunkan Al-Quran
Berzikir dengan hati
Keseorangan.
Walaupun tahu Allah sentiasa ada
Tidak akan pernah meninggalkan hambaNya”, – Tulisnya

Terdahulu, Najib, 70, yang juga Perdana Menteri keenam didapati bersalah atas tuduhan kes menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Ketika ini, Najib masih berdepan tiga lagi kes mahkamah termasuk penyelewengan RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Bhd. (1MDB).
Sementara, dua lagi kes berkaitan pecah amanah jenayah berjumlah RM6.6 bilion berhubung pembayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC) dan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International sebanyak RM27 juta.