Tindakan wanita ini buat pengurus gerai terkejut, menikmati makanan saat ingin bersalin, siap pesan akan datang balik.
Seorang wanita melalui saat-saat cemas apabila air ketuban pecah ketika sedang enak menjamu hidangan mookata di sebuah restoran, di Bangkok, Thailand.
Walaupun sedang berdepan situasi panik untuk bersalin, wanita berkenaan sempat meninggalkan satu pesanan yang luar biasa kepada pengurus restoran berkenaan.
Menurut laporan The Straits Times, wanita tersebut difahamkan meminta agar hidangan di atas meja yang sedang dinikmatinya tidak dikemas.
Dia sebaliknya memberitahu dia akan kembali semula ke gerai tersebut untuk menghabiskan makanan-makanan yang dipesannya.
Kisah berkenaan dikongsikan sendiri oleh pengurus gerai tersebut, Yuthaphum Kaewkhem di facebook miliknya sebelum dilaporkan oleh wartawan tempatan.

Air ketuban pecah tengah makan, wanita pesan datang balik sambung nanti
Sebaik sahaja dimuat naik ke Facebook, kisah berkenaan terus menjadi viral dan menarik perhatian warganet disana.
Menurut Yuthaphum, ketika itu, pekerja di gerai tersebut tengah menghubungi ambulans bagi membawa wanita berkenaan ke hospital.
Namun begitu, mereka terkejut apabila wanita itu meminta agar makanannya tidak disentuh kerana dia baru sahaja menyuap beberapa kali ke dalam mulut sebelum rasa hendak bersalin.
Kata wanita itu lagi, sekiranya dia tidak jadi bersalin pada hari yang sama, dia akan hadir semula ke restoran berkenaan untuk menghabiskan mookata berkenaan.
Untuk pengetahuan semua, mookata adalah sejenis hidangan barbeque-steamboat ala-Thai.
Terkejut dengan tindakan pelanggannya, Yuthaphum secara spontan telah menolak cadangan wanita tersebut
Yuthaphum ketika itu bagaimanapun meminta wanita berkenaan tidak terlalu memikirkan mengenai hidangan berkenaan dan memintanya memberi fokus kepada proses bersalin itu.
Katanya, dia berjanji untuk memberikan hidangan percuma mookata kepada wanita berkenaan selama sembilan bulan, asalkan wanita itu dapat melahirkan bayinya dengan segera dan selamat.
Beberapa hari selepas insiden itu, Yuthaphum telah pergi melawat wanita tersebut berserta bayi lelakinya yang baru dilahirkan.
Menerusi Facebooknya, dia berkongsi beberapa foto pertemuan dengan wanita berkenaan di hospital. Malah, Yuthaphum juga berkongsi fotonya sedang menyediakan juadah mookata yang dijanjikan untuk diberikan kepada wanita tersebut.
Menurut The Straits Times, wanita berkenaan adalah pelanggan tetap di restoran berkenaan. Ketika hari kejadian, wanita itu singgah di kedai tersebut kerana mengidam untuk menikmati mookata.
Dia bagaimanapun tidak menyangka bersalin lebih awal kerana dijangkakan hanya akan melahirkan kandungan tersebut pada 27 Oktober nanti.