Tular video budak darjah 1 pergi sekolah seronok, bila balik menangis tersedu-sedu
Pelbagai gelagat dan ragam anak-anak terutamanya yang pertama kali masuk ke sekolah tular di media sosial. Selain berpeluang merasai suasana dan pengalaman berbeza dari rumah, kebanyakan mereka juga seronok dapat berkenalan dengan ramai rakan baru.
Bila ada kawan-kawan, belajar pun seronok. Bukan itu je, nak pergi makan waktu rehat pun ada geng boleh sembang-sembang.
Pun begitu, lain pula yang terjadi kepada seorang kanak-kanak perempuan ini, membuatkan ibunya terkedu.
Menerusi video tular oleh Farahani di TikTok, memaparkan anaknya gembira dan bersemangat untuk ke sekolah pada pagi berkenaan.
Namun, pulang sahaja si anak yang bernama Ivy itu, dia menangis tersedu-sedu.
Apabila ditanya, rupanya tiada siapa di sekolah yang ingin berkawan dengan Ivy gara-gara si cilik ini tidak mahir berbahasa Melayu.
Difahamkan, Ivy memang dari kecil sudah terbiasa didedahkan dengan bahasa Inggeris termasuklah bersama orang tuanya di rumah. Namun selepas mendengar cerita itu, Puan Farahani akui timbul rasa bersalah terhadap anaknya. Ini kerana, dia tidak pernah terlintas situasi tersebut berlaku dalam hidup Ivy hanya disebabkan tidak fasih Bahasa Malaysia.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata memberikan kata-kata positif terhadap kanak-kanak ini dan ibunya kerana menurut mereka bahasa Inggeris memang penting namun bahasa ibunda mesti diutamakan.