Wanita menghembuskan nafas terakhir ketika sedang membaca al-Quran di masjid
Baru-baru ini, sebuah klip video tular di media sosial memaparkan situasi seorang wanita meninggal dunia di masjid ketika membaca al-Quran.
Wanita yang tidak didedahkan identitinya itu menghembuskan nafas terakhir ketika sedang membaca al-Quran di sebuah masjid di Bandung, Jawa Barat.
Kejadian berlaku ketika Majlis Taklim Nurunnisa di Masjid Babussalam baru-baru ini dan ia sempat dirakam oleh jemaah lain sebelum tular di media sosial.
Dalam majlis berkenaan, wanita berbaju serba putih itu pada mulanya dilihat mengetuai bacaan al-Quran bersama jemaah lain.
Bagaimanapun, wanita tersebut tiba-tiba berhenti membaca dan kelihatan tertunduk lemah.
Tidak lama kemudian, wanita itu jatuh terlentang ke belakang dan tidak sedarkan diri.
Jemaah lain kemudian membantu wanita itu beristighfar dan mengucapkan dua kalimah syahadah.
Warganet yang melihat klip video tersebut mencemburui kematian wanita berkenaan kerana dijemput Ilahi ketika sedang melakukan amal ibadah.