Wanita Patah Kaki Dalam Insiden 2 Kenderaan Bertembung

Wanita Patah Kaki Dalam Insiden 2 Kenderaan Bertembung

Sebuah kereta bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di persimpangan lampu isyarat berhampiran Kompleks Sukan Pandamaran, Klang. Insiden tersebut mengakibatkan seorang wanita cedera parah manakala suami dan tiga anaknya masing-masing mengalami kecederaan ringan.

Dalam kejadian itu, mangsa dikenali Jariaa Abdul Razak, 50, parah apabila patah kaki kiri manakala empat lagi iaitu suaminya, Mohd Affendy Abd Aziz, 59, dan tiga anak mereka masing-masing Adreen, 28, Arisha, 26 dan Adam, 22, hanya cedera ringan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kemalangan itu pada jam 3.09 petang.

Susulan itu katanya, sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pelabuhan Klang bergegas ke lokasi kejadian.

“Pasukan yang tiba di lokasi mendapati dua mangsa tersepit di tempat duduk penumpang belakang kereta jenis Proton Suprima itu manakala tiga lagi mangsa keluar sendiri sebelum bomba tiba.

“Mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan pihak bomba menggunakan peralatan khas dan semua mangsa kemudian dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pemandu pacuan empat roda jenis Toyota Hilux pula dipercayai menghilangkan diri kerana tiada di lokasi kejadian.

Shopee Diburu KPDNHEP Kerana Mencuri Duit Pelanggan Lebih RM6000

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *