Wanita terkejut jumpa mata kail siap tali pancing dalam hidangan ikan keli yang dipesan di restoran
Situasi yang tidak dijangka hampir menimpa seorang wanita berusia 31 tahun apabila dia nyaris termakan mata kail yang ditemukan dalam menu masakan ikan keli yang dipesan dari sebuah restoran di daerah Pak Kret, Thailand.
Wanita yang dikenali sebagai Jun menceritakan pengalaman ngeri itu berlaku sewaktu dia dan rakannya memesan makanan melalui perkhidmatan penghantaran pada 27 Julai lalu.
Mereka membuat tempahan makanan hidangan dua ketul ikan keli masak pedas, nasi kosong dan nasi dengan lauk kambing.
Menurutnya, pada asalnya mereka sedang menikmati makan tengah hari itu kemudian secara tiba-tiba satu mata kail dan tali pancing ditemui dalam potongan isi ikan hidangan tersebut.
Ikan keli merupakan hidangan kegemarannya namun penemuan yang tidak dijangka itu membuatkan dia terasa mual.
Apabila menyedari dengan keadaan itu, Jun segera memaklumkan kepada rakannya dan situasi tersebut membuatkan mereka bingung.
Kejadian itu sememangnya sukar untuk dipercayai namun kehadiran cangkuk itu sekaligus telah mematikan selera mereka.
Wanita itu membuat keputusan untuk menceritakan kepada pemilik restoran tersebut berkaitan dengan penemuan ‘ngeri’ yang mengejutkannya.
Pun begitu, restoran tersebut menegaskan mereka telah membersihkan ikan itu dengan teliti.
Bagaimanapun atas rasa tanggungjawab restoran itu menawarkan menu yang sama sebagai tanda ganti rugi, namun wanita yang trauma terbabit mengatakan dia mahu wangnya dipulangkan semula.
Akur dengan keputusan tersebut, restoran itu akhirnya memulangkan semula wang sebanyak RM15 kepadanya.
Sehubungan itu, Jun meminta agar seluruh pihak restoran untuk berhati-hati ketika menghidangkan makanan supaya kejadian sama tidak berulang kembali.